Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PMR Mudahkan Penduduk Luar Bandar Dapatkan Akses Perkhidmatan Kerajaan

03/09/2025 11:17 AM

ALOR SETAR, 3 Sept (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah yang akan berlangsung di Baling mulai Khamis hingga Sabtu ini memudahkan penduduk luar bandar dan pedalaman mendapatkan akses terus kepada perkhidmatan kerajaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata program di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling bermula 9 pagi hingga 10 malam itu menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat menyelesaikan urusan.

“Kita bawa perkhidmatan kepada rakyat. Biasanya mereka perlu ke bandar atau pekan untuk urusan kerajaan, tetapi di PMR ia menjadi pusat sehenti dengan semua agensi berkumpul...rakyat boleh selesaikan lima atau enam urusan sekali gus.

Ad Banner

“Antara pengisian program ialah Jualan Rahmah MADANI dengan potongan harga 30 peratus bagi barangan keperluan harian, pertukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pelbagai aktiviti agensi kerajaan,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di TV1, hari ini.

Beliau berkata PMR juga menjadi platform menyebarkan dasar dan inisiatif kerajaan meliputi bantuan, peluang pekerjaan serta kesihatan, selain memberi ruang kepada rakyat melihat sendiri usaha kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

“Program sebegini membolehkan rakyat melihat sendiri apa yang telah dilaksanakan kerajaan serta memberi input untuk penambahbaikan. Apabila rakyat berkomunikasi dengan kerajaan, suara mereka akan diberi perhatian.

Ad Banner

“Saya galakkan orang ramai hadir bersama keluarga dan rakan untuk mendapatkan maklumat. Kadang-kadang apa yang kerajaan buat tidak sampai kepada rakyat, jadi datanglah untuk melihat sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fauzi turut mengajak orang ramai menyertai Gerakan Bersama Malaysiaku, pertandingan sempena Hari Malaysia bagi mereka berusia 18 tahun ke atas untuk berkongsi gambar dan kisah peribadi.

“Mereka boleh menghantar gambar individu, contohnya ketika bertugas...sama ada beruniform, melakukan kerja pembersihan, jurutera atau usahawan. Ambil gambar, isi borang dan hantar ke laman rasmi penganjur.

“Penyertaan ditutup pada 14 Sept dan pemenang akan diumumkan pada Hari Malaysia dengan hadiah menarik termasuk kereta dan motosikal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan