KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih sementara Singapura Gavin Lee mengingatkan pemainnya supaya sentiasa mengawal emosi dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini esok.
Gavin yang dilantik ke jawatan itu pada Jun berikutan peletakan jawatan Tsutomu Ogura menyedari pengurusan emosi amat penting untuk pemain dan barisan kejurulatihan dalam perlawanan berintensiti tinggi itu disebabkan kedua-dua pasukan merupakan seteru tradisi.
“Dari segi emosi, seperti yang Saf (ketua pasukan Safuwan Baharudin) sebutkan tadi, apabila bermain dalam 'Derbi Tambak', ia tidak pernah mudah. Terdapat banyak ketegangan, banyak emosi, tetapi kami sering menekankan kepentingan menguruskan pemikiran dan emosi.
“Apabila terlalu emosi, kita cenderung untuk lupa apa yang perlu dilakukan. Kami ada pemain-pemain yang sangat berbakat dan mampu beraksi pada tahap yang sangat tinggi, tetapi kadangkala emosi boleh menjadi penghalang.
“Jadi, akhirnya, ia tentang bagaimana kami mengawal perkara itu. Sebagai jurulatih, saya juga tidak terkecuali. Saya perlu mengetepikan emosi supaya dapat menonton perlawanan dengan fikiran yang rasional dan memberikan input yang dapat membantu mereka mencapai kejayaan,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Gavin turut menyifatkan penampilan sulungnya sebagai ketua jurulatih Singapura sebagai satu penghormatan besar dan mengakui tanggungjawab berat yang digalasnya, lebih-lebih lagi kerana ia adalah perlawanan menentang seteru lama, Malaysia.
“Ia merupakan perlawanan pertama saya. Bagi saya, ia satu penghormatan besar. Saya sama seperti semua individu lain dalam pasukan. Ini adalah penghormatan tertinggi setiap kali anda berpeluang mewakili negara. Kami tidak memandang ringan tanggungjawab itu.
“Kami sedar bahawa pasukan ini mempunyai peranan untuk dilaksanakan setiap kali turun ke padang, dan perkara itu tidak akan berubah (esok). Dalam setiap perlawanan, kami mengharapkan 100 peratus daripada diri kami,” kata bekas ketua jurulatih BG Tampines Rovers FC itu.
Sementara itu, Safuwan percaya skuad Malaysia telah berkembang sejak pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada Disember, dengan kemasukan lebih ramai pemain naturalisasi di samping teras pemain tempatan yang sedia ada.
Pemain tengah bertahan berusia 33 tahun itu, yang memiliki pengalaman luas dalam pertembungan 'Derbi Tambak', berkata Harimau Malaya kekal konsisten dalam visi jangka panjang mereka untuk meningkatkan tahap bola sepak negara di rantau ini.
“Saya rasa apa yang berbeza sekarang ialah kehadiran lebih ramai pemain naturalisasi. Masih ada asas teras pemain tempatan, yang telah kita lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi saya rasa hala tuju mereka sentiasa sama, iaitu untuk menjadi sebuah negara bola sepak yang lebih baik di Asia Tenggara atau Asia,” kata pemain Selangor FC itu yang kini dipinjamkan ke Lion City Sailors.
Dalam lima pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan dalam semua kejohanan, Malaysia mencatat satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan kepada Singapura, dengan perlawanan terakhir berkesudahan 0-0 dalam aksi peringkat kumpulan Piala ASEAN 2024.
Selepas menentang Malaysia, Singapura yang kini mendahului Kumpulan C dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 akan menentang India di laman sendiri untuk perlawanan ketiga kumpulan pada 9 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial