KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Rapid KL memperkenalkan tawaran eksklusif Pas MyTourist serendah RM35 sehari untuk pelancong asing bersempena dengan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 5 hinga 7 Sept ini.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan pas berkenaan membolehkan pengguna menikmati perjalanan tanpa had untuk perkhidmatan LRT, MRT, Monorel, BRT, bas serta Rapid KL On-Demand (ROD).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Amir Hamdan berkata pas itu merupakan pilihan pengangkutan yang mudah, berpatutan dan lestari untuk meneroka Kuala Lumpur.
“Pemegang pas MyTourist akan menerima manfaat tambahan selama tujuh hari berturut-turut daripada lebih 40 rakan strategik, termasuk potongan harga di pusat tarikan pelancong, pusat beli-belah, restoran dan kafe, dengan jumlah penjimatan bernilai hingga RM800," katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Menurut Rapid KL, antara tawaran menarik yang menanti pengunjung MATTA Fair termasuklah potongan harga bagi pembelian Pas MyTourist (untuk 1-Hari, 2-Hari dan 3-Hari), hadiah eksklusif dengan setiap pembelian Pas MyTourist 2-Hari dan 3-Hari serta pelbagai aktiviti interaktif dan jualan barangan cenderahati di reruai Rapid KL.
"Sebagai penggerak mobiliti bandar di Lembah Klang, Rapid KL giat memperkukuh inisiatif bagi menarik lebih ramai pengguna sama ada pelancong luar negara mahupun domestik untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Pelbagai lokasi pelancongan utama di ibu negara dapat diakses dengan mudah melalui rangkaian perkhidmatan Rapid KL," menurut kenyataan itu.
Untuk keselesaan pengunjung Pameran MATTA, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan pihak penganjur bermula dari 8 pagi hingga 10 malam, dengan kekerapan antara lima hingga 10 minit bergantung pada keadaan trafik semasa.
Lokasi pengambilan dan penurunan penumpang adalah di hentian bas Balai Pelepasan KLIA Ekspres, KL Sentral dan hentian bas Sunway Putra Mall.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan Rapid KL, orang ramai boleh melayari laman web rasmi melalui www.myrapid.com.my atau menghubungi talian Khidmat Pelanggan Rapid KL 03-7885 2885.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial