SEREMBAN, 5 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki dan teman wanitanya direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak yang lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata perintah reman terhadap lelaki tempatan berusia 46 tahun dipercayai bapa kepada dua kanak-kanak terbabit dan wanita berumur 41 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Nurul Farha Sulaiman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Alzafny berkata polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui motif kejadian, namun tidak mendapat kerjasama baik daripada kedua-dua individu terbabit yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada 8 malam tadi.
“Kita dapat maklumat sekarang ini bukan daripada dia (suspek) tetapi hasil daripada laporan orang ramai. Sehingga kini kita masih belum dapat mengesan motif kejadian yang masih dalam siasatan," katanya.
Alzafny sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung sebuah kereta jenis Nissan terjatuh ke dalam sungai Tanjung Agas, Port Dickson dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan di dalamnya, pada 11.45 pagi semalam.
Beliau berkata siasatan mendapati kanak-kanak tersebut masing-masing berumur enam dan lapan tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor, dipercayai lemas akibat terperangkap di dalam kenderaan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin dilaporkan berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa dua kanak-kanak serta lelaki dan wanita itu sedang berehat sambil memancing di kawasan terbabit dan secara tiba-tiba kenderaan yang berada dalam keadaan parkir menggelongsor jatuh ke dalam sungai.
Beliau berkata ketika kejadian lelaki tersebut berada di luar kereta manakala mangsa berada di dalam kenderaan bersama seorang wanita namun dia berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada berdekatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial