MELAKA, 4 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam lawatan kerja rasmi ke Jepun selama seminggu bermula Isnin (1 Sept) bagi meneroka peluang pelaburan sektor kesihatan sempena World Expo Osaka 2025.
Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam kenyataan memaklumkan delegasi itu mengadakan lawatan ke Sysmex Corporation di Kobe dan Nipro Corporation di Shiga, dua syarikat peneraju global dalam bidang teknologi diagnostik in-vitro (IVD), peranti perubatan, farmaseutikal serta perubatan regeneratif.
Lawatan ke Sysmex memberi ruang kepada Melaka untuk memahami lebih dekat teknologi kesihatan bertaraf dunia selain membuka potensi kerjasama strategik dalam bidang inovasi perubatan.
“Kerajaan Melaka komited memperkasakan transformasi negeri sebagai Hab Kesihatan Utama di Asia Tenggara. Dengan kepakaran lebih 50 tahun dimiliki Sysmex, kerjasama ini diyakini mampu memperkukuh inovasi serta meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan untuk kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Dalam sesi perbincangan, Sysmex yang diwakili Pengurus Besar Shinjiro Akamatsu dan Pegawai Kanan Eksekutif Pemasaran Takashi Kubota menyatakan minat memperluas kepakaran mereka di Melaka.
Antara fokus utama ialah mempertingkatkan penggunaan mesin pembedahan robotik Hinotori di Pusat Perubatan Mahkota yang memberi manfaat kepada rakyat tempatan dan berpotensi menarik pesakit antarabangsa melalui sektor pelancongan kesihatan.
Sementara itu, lawatan ke Nipro Corporation semalam, membuka peluang potensi pelaburan dianggarkan bernilai RM50 juta termasuk dalam bidang pengeluaran peranti perubatan dan pusat latihan kepakaran.
“Melaka kini mempunyai tujuh hospital utama terdiri daripada empat hospital pakar swasta dan tiga hospital kerajaan yang bukan sahaja memenuhi keperluan lebih sejuta penduduk negeri tetapi juga berperanan sebagai tarikan pelancongan kesihatan.
“Komitmen pelabur Jepun terhadap Melaka juga terbukti apabila sebanyak RM5.9 bilion pelaburan diluluskan sejak 1980 hingga kini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial