Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

WorldSkills Asia 2025: Malaysia Sasar Emas Setiap Acara Disertai

04/09/2025 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas dalam setiap acara yang disertai pada Kejohanan WorldSkills Asia 2025 di Taipei pada November ini, susulan kejayaan muncul juara keseluruhan WorldSkills ASEAN 2025 di Manila, Filipina baru-baru ini. 

Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Timbalan Chief de Mission Malaysia ke WorldSkills ASEAN Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bagi mencapai sasaran itu, persiapan rapi sedang giat dijalankan.

“Sasaran bertanding  23 acara, menang 23 emas.  Tapi yang ini (jumlah tepat) kita akan tentukan nanti berapa kita bertanding dan harapannya semuanya adalah emas,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara Bernama TV di Wisma Bernama, malam ini. 

Ad Banner

Pada Kejohanan WorldSkills ASEAN 2025 di Manila dari 26 hingga 28 Ogos lepas, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 37 anak muda, bertanding dalam 23 bidang kemahiran dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas membawa pulang 13 pingat emas.

Ahmad berkata kejayaan di Manila merupakan pencapaian terbesar negara sejak menyertai pertandingan tersebut di peringkat antarabangsa, hasil kerjasama erat antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Beliau berkata faktor kejayaan kontinjen negara turut dipengaruhi oleh fasiliti latihan, pemilihan peserta menerusi pertandingan di peringkat kebangsaan serta sokongan pelbagai agensi pelaksana.

Ad Banner

Ahmad berkata walaupun Malaysia muncul juara di peringkat ASEAN, analisis menyeluruh tetap akan dijalankan bagi menilai aspek yang boleh diperbaiki menjelang cabaran di Taipei.

"Antara persiapan kita ialah menilai prestasi di Manila dan mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan. Walaupun kita berjaya menjadi johan, post-mortem tetap perlu dijalankan," katanya.

Terdahulu, ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara itu, beliau berkata WorldSkills merupakan pentas tertinggi bagi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang juga sering digelar sebagai “Olimpik Kemahiran”.

Beliau berkata pencapaian cemerlang kontinjen Malaysia kali ini membuktikan TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua sebaliknya menjadi kerjaya utama yang diiktiraf dan diberi tumpuan oleh kerajaan melalui Majlis TVET Negara (MTVET).

“Sebelum ini TVET adalah pilihan kedua tetapi sekarang di bawah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi MTVET, kita ada mesyuarat berkala dengan pelbagai kementerian yang memberi tumpuan kepada bidang ini, seterusnya menjadi pilihan utama pelajar," katanya.

Sementara itu, pemenang pingat emas WorldSkills ASEAN 2025 bagi acara kemahiran kimpalan, Muhammad Haris Irfan Abdul Halid daripada GiatMARA Kepala Batas, Pulau Pinang berkata masalah kesihatan yang dihadapi sepanjang kejohanan tidak menghalangnya untuk terus berjuang ditambah dengan sokongan serta semangat daripada jurulatih.

“Pingat emas ini satu kejayaan bagi saya untuk membahagiakan ibu ayah serta guru saya dan untuk negara, pada masa yang sama kejayaan ini adalah untuk masa depan saya,” katanya.

Khairul Idham Bahari daripada Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut, Perak yang merupakan pemenang pingat emas acara pembuatan kabinet pula, berkata kegagalan muncul juara semasa penyertaan sulung pada 2023 membakar semangatnya untuk mencipta kejayaan lebih baik kali ini.

“Saya mula menyertai pertandingan ini pada 2023 dan hanya meraih pingat gangsa, kemudian saya usaha lagi dan berjaya mencapai pingat emas di Manila,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Bagi jurulatih kemahiran kimpalan, Mohd Fuad Din kesungguhan dan disiplin peserta menjadi faktor utama kejayaan memberangsangkan di Manila.

Jurulatih kemahiran Cabinetmaking, Mohd Hafiz Fizuan Sharudin pula berkata penilaian bulanan serta program motivasi mental dan fizikal adalah sebahagian daripada persiapan peserta untuk mengharungi kejohanan di Manila yang disertai lebih 300 peserta dari rantau Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan