KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Agrobank hari ini mengumumkan tawaran moratorium selama enam bulan bagi membantu pelanggan di seluruh negara yang terkesan bencana banjir khususnya di Sabah.
Bantuan itu meliputi penangguhan bayaran balik pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan yang layak dan terjejas bencana itu.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata langkah itu sejajar dengan usaha berterusan institusi kewangan tersebut menyokong komuniti pelanggan yang terkesan.
“Kami memahami kesukaran dihadapi pelanggan akibat banjir baru-baru ini. Agrobank sentiasa proaktif menyediakan bantuan khusus untuk meringankan beban mereka dan berharap moratorium ini dapat memberi sokongan diperlukan sepanjang tempoh mencabar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata bencana itu menyebabkan terdapat sebahagian pelanggan mengalami kerosakan harta benda, ladang serta aktiviti pertanian yang secara langsung menjejaskan sumber pendapatan dan kelangsungan perniagaan mereka.
“Ada pelanggan memerlukan penangguhan sementara untuk menumpukan usaha memulihkan semula perniagaan. Justeru, pelanggan yang layak boleh memohon kemudahan moratorium bagi membina semula perniagaan.
“Pegawai kami juga akan menghubungi pelanggan terjejas untuk membantu mereka mengharungi situasi ini,” katanya.
Pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut Bantuan Banjir Agrobank boleh menghubungi Pusat Panggilan Agrobank 1-300-88-2476 atau melayari laman web rasmi www.agrobank.com.my atau hadir di cawangan terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial