Daripada V.Sankara
DILI (TIMOR-LESTE), 22 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memainkan peranan penting dalam mengangkat aspirasi Timor-Leste untuk menyertai ASEAN, akan memulakan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu selama dua hari bermula esok (23 Sept).
Lawatan bersejarah ini merupakan kunjungan pertama seorang Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong kesediaan negara itu menjadi anggota ke-11 ASEAN.
Anwar dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato pada pukul 3 petang waktu tempatan esok dan akan disambut oleh Presiden Dr José Ramos-Horta serta Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão.
Mengiringi beliau ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, selain pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar Negeri.
Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh dalam sidang media bersama Bernama dan RTM berkata bahawa agenda rasmi Anwar akan dimulakan dengan istiadat sambutan negara di Istana Presiden, diikuti kunjungan hormat terhadap Presiden Ramos-Horta.
Pada sebelah malam, Anwar akan menghadiri jamuan rasmi yang dianjurkan bersama oleh Presiden dan Perdana Menteri Timor-Leste di Lahane Palace.
Keesokannya, beliau dijadual menyampaikan ucaptama di Parlimen Nasional, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Gusmão di Istana Kerajaan. Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan mengadakan sidang media bersama.
Selain itu, Anwar akan menghadiri sesi ramah mesra bersama komuniti rakyat Malaysia dan alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), menyampaikan syarahan dalam siri Presidential Lecture di Istana Presiden serta melancarkan tapak projek Pusat Konvensyen Antarabangsa di Dili yang bakal dibangunkan.
Amarjit menyifatkan lawatan ini sebagai amat signifikan kerana bukan sahaja memperkukuh hubungan erat kedua-dua negara, tetapi juga menyerlahkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam merealisasikan penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam blok serantau itu.
“Malaysia konsisten menyokong Timor-Leste sejak sebelum kemerdekaannya pada 2002. Lawatan ini melambangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk bersama keluarga ASEAN,” katanya.
Nilai dagangan dua hala Malaysia-Timor-Leste pada 2024 mencecah RM85 juta pada tahun lepas, dengan kira-kira 250 syarikat Malaysia beroperasi di negara itu dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan perdagangan.
Setakat ini, kira-kira 150 rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan profesional, usahawan dan pekerja mahir berdaftar di Kedutaan Malaysia di Dili.
Hubungan rakyat dengan rakyat turut diperkukuh melalui kemudahan perjalanan. Sejak 16 Ogos lepas, rakyat Malaysia menikmati kemudahan bebas visa ke Timor-Leste, sejajar dengan semangat integrasi ASEAN yang memudahkan pergerakan antara negara anggota.
Timor-Leste memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011. Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, para pemimpin bersetuju menerima negara itu sebagai anggota ke-11 blok berkenaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
Negara yang mencapai kemerdekaan rasmi pada 20 Mei 2002 itu kini memberi tumpuan kepada usaha pembinaan kapasiti, pembangunan ekonomi dan diplomasi serantau sebagai persediaan untuk integrasi penuh dalam ASEAN.
Dengan populasi hampir 1.4 juta orang, Timor-Leste sedang berusaha memanfaatkan sumber semula jadi serta sektor pelancongan, kopi dan perikanan bagi mengukuhkan daya tahan ekonominya.
Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan berasingan memaklumkan Anwar dan Gusmão akan menyaksikan pertukaran dua MoU antara institusi perniagaan iaitu Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Banco Central de Timor-Leste (BCTL) bagi kerjasama pembangunan profesional dan kapasiti dalam sektor kewangan.
Satu lagi MoU bakal dimeterai melibatkan Asian Institute of Insurance (AII) dan BCTL untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan profesional bidang insurans.
Ramos-Horta akan turut menganugerahkan “Grand Collar of the Order of Timor-Leste”, iaitu anugerah sivil tertinggi negara itu, kepada Anwar sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala dan serantau.
Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste mencatatkan US$18.72 juta (RM85.68 juta). Eksport Malaysia ke Timor-Leste berjumlah US$18.37 juta (RM84.06 juta), manakala import produk daripada Timor-Leste pula US$0.35 juta (RM1.62 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial