Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Jamin Kuota Haji Dipenuhi, Faktor Kesihatan Punca Penangguhan - Zulkifli

02/01/2026 08:15 PM

BACHOK, 2 Jan (Bernama) -- Faktor kesihatan dikenal pasti sebagai punca utama penangguhan ibadah haji dalam kalangan jemaah Malaysia pada tahun ini mengatasi faktor kewangan yang kini berada di kedudukan ketiga, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 18 peratus jemaah menangguhkan haji, penurunan ketara berbanding sekitar 50 peratus sebelum ini, hasil inisiatif penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

“Daripada data yang diterima, faktor peribadi dan kesihatan merupakan penyumbang utama kepada penangguhan manakala faktor kewangan tidak lagi menjadi sebab dominan seperti sebelum ini,” katanya selepas Sesi Penyerahan Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Aman, Kandis, di sini hari ini.

Zulkifli berkata keperluan pemeriksaan kesihatan merupakan antara syarat yang ditetapkan dan perlu dipatuhi untuk memastikan keselamatan serta kelancaran ibadah jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Berikutan itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan memastikan 100 peratus kuota haji Malaysia dipenuhi seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, dengan rayuan haji masih dibuka hingga Ramadan bagi mengisi kekosongan yang ada.

“Bagi jemaah yang menangguhkan haji, kuota berkenaan akan digantikan dengan calon paling layak mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada.

"Sebarang pengumuman lanjut berkaitan tawaran dan rayuan haji akan dimaklumkan oleh TH dari semasa ke semasa," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji 2026 berikutan keputusan negara itu untuk mengekalkan kuota sebanyak 31,600 jemaah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan