GEORGE TOWN, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mencalonkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mewakili Malaysia bagi Anugerah Dubai pada 2026, susulan kejayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerima pensijilan Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir (ESG).
Menterinya Nga Kor Ming berkata pencalonan itu dibuat selepas MBPP membuktikan keupayaan cemerlang dalam mengamalkan prinsip kelestarian, tadbir urus baik serta kesejahteraan komuniti.
“Sempena penerimaan sijil ESG selaku PBT pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan berprestij ini, KPKT akan mencalonkan MBPP bertanding di persada dunia untuk Anugerah Dubai 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan dan Penyerahan Sijil ESG kepada MBPP, di sini hari ini.
MBPP ialah agensi kerajaan dan PBT pertama dalam negara yang menerima pensijilan ‘SIRIM QAS International’ bagi SIRIM 55:2023 Environmental, Social and Governance Systems serta SIRIM 50:2021 Social Accountability Management Systems.
Nga berkata pencapaian pensijilan itu membuktikan keberkesanan pendekatan holistik MBPP dalam aspek ESG.
Pelaksanaan ESG selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan rakyat dan integriti sebagai asas utama.
“KPKT melihat agensi kerajaan tempatan sebagai barisan hadapan dalam menterjemahkan dasar kelestarian negara pada peringkat akar umbi kerana bandar-bandar di Malaysia bukan sahaja pusat pertumbuhan ekonomi, malah penentu kualiti hidup rakyat serta daya saing negara di pentas dunia,” katanya.
Nga berkata MBPP telah melaksanakan pelbagai inisiatif menyeluruh termasuk pengurusan sisa pepejal mampan, kecekapan penggunaan tenaga, pemeliharaan sumber semula jadi, kesejahteraan komuniti, keterangkuman sosial dan keselamatan bandar.
Beliau bagaimanapun menegaskan pensijilan ESG itu perlu dilihat sebagai titik permulaan kepada usaha penambahbaikan berterusan dan amalan ESG mesti diarusperdanakan dalam setiap aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program PBT supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial