AM > BERITA

Gagal Patuh Tatacara Punca Ketidakaturan Perolehan - KSN

18/01/2026 02:04 PM

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kelemahan dalam proses perolehan kerajaan, berpunca daripada kegagalan mematuhi tatacara yang telah ditetapkan, meskipun Kementerian Kewangan (MoF) telah menyediakan pelbagai bentuk fleksibiliti bagi melancarkan urusan perolehan.

Beliau berkata ketidakaturan yang berlaku bukan disebabkan sistem semata-mata, tetapi kerana ahli Lembaga Perolehan, Jawatankuasa serta pegawai tidak memahami sepenuhnya tatacara dan roh (spirit) perolehan.

“MoF dah buat banyak fleksibiliti dalam (proses) perolehan, tetapi walaupun begitu kena pastikan setiap tatacara perolehan itu perlu dipatuhi.

Ad Banner
Ad Banner

“Dia tak boleh nak diatur, dimanipulasi, sesuka hati. Maknanya yang penting sekali semua ahli Lembaga Perolehan kena faham tatacara perolehan. Bila berlaku ketidakaturan ini kerana ahli lembaga dan jawatankuasa serta pegawai tidak faham the spirit perolehan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program KSN Media Strike Challenge 2026 bersama pengamal media, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Nasaruddin Abdul Muttalib, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) JPM Datuk Ikmalrudin Ishak dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Abd Shukor Mahmood.

Turut bersama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Shamsul Azri berkata kelemahan dalam proses perolehan, lazimnya berpunca daripada kurangnya kefahaman terhadap tatacara perolehan serta kelemahan dalaman pegawai sendiri, dalam menghayati prinsip dan tujuan peraturan itu diwujudkan.

“Kelemahan berlaku kerana kurang faham tentang tatacara perolehan dan kita punya kelemahan diri,” katanya.

Ditanya sama ada ia disebabkan kelemahan pemantauan atau prosedur operasi standard (SOP), Shamsul Azri berkata ia merupakan kombinasi pelbagai faktor.

Justeru, Shamsul Azri berkata MoF akan memperketat lagi garis panduan perolehan bagi semua kementerian dan badan berkanun untuk mengelak ketirisan.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata semua keputusan perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah, dibekukan sementara.

Menurut Perdana Menteri pembekuan itu dilaksanakan oleh kerajaan sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Anwar turut dipetik berkata kerajaan melalui kementerian terbabit akan turut meneliti dan menyusun semula semua perolehan, bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

Susulan itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata kementeriannya kini sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berhubung arahan terbabit.

Beliau juga berkata Kementerian Pertahanan juga sedang meneliti langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan