MERSING, 7 Feb (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengekalkan syarat minimum 60 peratus dalam Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) sebagai antara kriteria utama pemilihan kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), bagi memastikan pelajar yang ditawarkan mampu mengikuti tahap pembelajaran di institusi itu.
Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman berkata semua pemohon perlu menduduki ujian berkenaan dan tawaran pusingan pertama diberikan kepada mereka yang memperoleh markah sekurang-kurangnya 60 peratus.
Beliau berkata bagi kemasukan tingkatan satu, MARA menawarkan kira-kira 7,300 tempat berbanding 118,000 permohonan diterima manakala bagi tingkatan empat 2,700 tempat disediakan berbanding 96,000 permohonan diterima.
“Tawaran pusingan pertama telah diisi sepenuhnya...tetapi ada baki kerana ada yang tidak mendaftar pada hari pendaftaran utama,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program MARA Prihatin Desa MADANI di Kampung Hubong di sini hari ini.
Zulfikri berkata baki itu dianggarkan 400 hingga 450 tempat dan MARA menerima kira-kira 45,000 permohonan rayuan dengan pemilihan dibuat berdasarkan markah terbaik bagi mengisi kekosongan berkenaan.
Beliau berkata pemilihan turut mengambil kira komposisi sosioekonomi iaitu 60 peratus daripada kumpulan B40, 30 peratus M40 dan 10 peratus T20.
Dalam pada itu, Zulfikri berkata MARA tidak mahu mengambil pelajar yang tidak mencapai tahap minimum kerana bimbang mereka akan tercicir apabila memasuki MRSM, sekali gus menjejaskan motivasi dan minat terhadap pelajaran.
Ketika ditanya sama ada MARA akan mempertimbangkan penambahan kapasiti MRSM susulan permohonan tinggi, beliau berkata perkara itu bergantung kepada keupayaan menambah bilangan kelas, guru dan kemudahan asrama.
"Kita mempunyai 58 MRSM di seluruh negara ketika ini. Bagaimanapun, peluang kemasukan boleh diperluas pada masa hadapan sekiranya MARA menerima peruntukan tambahan untuk membina lebih banyak MRSM," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi Facebook memaklumkan menerima permohonan rayuan kemasukan ke MRSM luar biasa iaitu lebih 45,000 bagi Tingkatan 1, berbanding 250 kekosongan disediakan.
Terdahulu Zulfikri dalam ucapan berkata pada tahun lepas, MARA Johor telah diperuntukkan sebanyak RM42.4 juta merangkumi RM1.13 juta bagi latihan dan geran keusahawanan,
“Sejumlah RM35.36 juta pula untuk kemudahan pembiayaan serta RM5.93 juta bagi penyelenggaraan premis perniagaan, melalui inisiatif kesejahteraan rakyat.
"Peruntukan ini telah dimanfaatkan oleh lebih 3,000 usahawan yang menerima pelbagai kemudahan sepanjang 2025,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, MARA Johor telah diperuntukkan RM 26.5 juta bagi pembangunan keusahawanan yang dijangka akan dimanfaatkan oleh pelbagai usahawan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan hidup golongan bumiputera di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial