Ad Banner
 AM > BERITA

JPKK Diingatkan Amal Integriti Tinggi, Adil - MB Negeri Sembilan

10/02/2026 06:08 PM

SEREMBAN, 10 Feb (Bernama) -- Barisan kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Negeri Sembilan diingatkan untuk mengamalkan integriti tinggi dalam semua urusan pentadbiran, tanpa membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, pilih kasih atau kepentingan peribadi.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pengerusi, setiausaha dan bendahari JPKK perlu memastikan pengagihan bantuan, pelaksanaan program dan pengurusan kewangan dilaksanakan secara telus, adil dan mengikut peraturan.

“Sekiranya berlaku penyelewengan, salah guna kuasa atau pelanggaran integriti, saya tidak akan teragak-agak meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas tanpa mengira jawatan atau kedudukan. Ini pendirian kerajaan negeri.

Ad Banner

“Kepercayaan rakyat aset paling berharga dan ia hanya dapat dipelihara melalui pentadbiran yang bersih, telus, dan adil,” katanya pada Majlis Amanat Menteri Besar bersama-sama Kepimpinan JPKK Negeri Sembilan 2025-2027 di sini hari ini.

Aminuddin berkata kerajaan negeri tidak berkompromi dengan individu didapati terlibat dalam isu integriti dan menegaskan setiap tindakan harus mematuhi prinsip akauntabiliti demi kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan lebih RM500,000 disediakan bagi sumbangan kewangan kepada barisan kepimpinan JPKK sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.

Beliau berkata sebanyak 1,320 penerima dari 440 kampung seluruh negeri ini menerima insentif RM500 bagi pengerusi JPKK, setiausaha (RM300) dan bendahari (RM200). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan