KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Peningkatan kedudukan Malaysia sebanyak tiga anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 tidak harus dilihat sekadar sebagai kejayaan angka, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada reformasi sistemik yang benar-benar mengurangkan ruang dan peluang rasuah.
Di samping berbangga dengan pencapaian itu, usaha pembanterasan rasuah perlu terus diperhebat dan memberi impak nyata kepada rakyat melalui penambahbaikan struktur tadbir urus dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata peningkatan itu adalah dorongan positif kepada agenda integriti nasional, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa selesa atau memperlahankan momentum pembaharuan.
Beliau berkata perjalanan reformasi integriti Malaysia memerlukan komitmen politik yang konsisten serta keberanian institusi dalam melaksanakan pembaharuan secara menyeluruh dan bebas daripada campur tangan.
“Tindakan membawa beberapa kes rasuah berskala besar dan berprofil tinggi ke mahkamah berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan persepsi antarabangsa, khususnya dari sudut kesediaan negara untuk mengambil tindakan undang-undang tanpa mengira status individu terlibat.
“Namun begitu, pendakwaan semata-mata tidak mencukupi. Persepsi positif hanya akan kekal dan meningkat sekiranya disusuli dengan sabitan yang adil dan konsisten, proses kehakiman yang bebas dan telus, pembaharuan institusi penguatkuasaan serta pencegahan rasuah berkesan di peringkat dasar dan sistem,” katanya kepada Bernama.
Kedudukan Malaysia bertambah baik daripada tempat ke-57 pada 2024 ke tempat ke-54 tahun lepas, menurut laporan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International (TI) hari ini.
Menurut laporan itu, Malaysia di kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dan Brunei, malah skor negara bagi tahun lepas meningkat kepada 52 mata, berbanding 50 dalam penilaian 2024, menunjukkan trend menaik yang sederhana tetapi menggalakkan.
Jais berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah institusi strategik negara yang mesti dipertahankan, diperkasakan dan dilindungi daripada polemik politik berlebihan yang boleh menjejaskan keyakinan awam serta keberkesanan penguatkuasaan.
Katanya MCW berpandangan bahawa cadangan penubuhan jawatankuasa baharu untuk memantau SPRM perlu dilihat secara objektif dan berlandaskan realiti struktur sedia ada, bukannya diasaskan kepada persepsi kononnya SPRM gagal atau tidak berfungsi.
“SPRM sudah mempunyai mekanisme semak dan imbang yang komprehensif termasuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JKA) serta panel operasi dan pencegahan yang berfungsi mengikut kerangka undang-undang dan pentadbiran.
“Kritikan terhadap institusi penguatkuasaan mesti bersifat membina, berpaksikan fakta dan tidak dijadikan alat untuk mengalihkan perhatian daripada siasatan atau agenda politik sempit,” katanya.
Sementara itu, Felo Penyelidik Ilham Centre Mujibu Abd Muis berkata lonjakan kedudukan Malaysia dalam CPI 2025 itu disifatkan sebagai petunjuk awal yang positif terhadap hala tuju tadbir urus negara, namun belum boleh dianggap sebagai kejayaan besar atau perubahan struktural yang menyeluruh.
“CPI mengukur persepsi, bukan realiti mutlak, maka peningkatan ini lebih mencerminkan keyakinan relatif komuniti antarabangsa terhadap hala tuju tadbir urus Malaysia, bukannya bukti bahawa masalah rasuah telah berjaya dibanteras secara menyeluruh,” katanya.
Katanya walaupun peningkatan itu menunjukkan terdapat usaha pembaikan institusi dan tekanan politik yang lebih jelas terhadap agenda reformasi, kedudukan Malaysia yang masih berada di pertengahan secara global menggambarkan defisit kepercayaan yang berterusan terhadap sistem pencegahan rasuah negara.
Mengulas sama ada lonjakan CPI itu didorong oleh tindakan membawa kes-kes rasuah berprofil tinggi ke mahkamah, Mujibu berkata kesannya bersifat simbolik tetapi tidak menentukan secara mutlak penilaian indeks tersebut.
“Pendakwaan kes-kes besar rasuah memberi kesan simbolik yang kuat kepada persepsi antarabangsa kerana ia menunjukkan kesediaan politik untuk membenarkan proses perundangan berjalan, termasuk terhadap individu berprofil tinggi.
“Jika pendakwaan dilihat selektif, bersifat bermusim atau tidak disusuli pembaharuan sistemik seperti pemisahan kuasa pendakwaan dan eksekutif, kesannya terhadap CPI lazimnya bersifat sementara.
“Oleh itu, lonjakan ini lebih tepat difahami sebagai gabungan antara pendakwaan berprofil tinggi, perubahan naratif kerajaan serta tekanan masyarakat sivil,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial