IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan 5,136 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 yang bermula 13 hingga 22 Feb lepas, dengan tumpuan kepada tujuh kesalahan utama.
Pengarahnya Mohammad Yusoff Abustan berkata hingga 21 Feb, sebanyak 38,135 kenderaan pelbagai kategori telah diperiksa oleh anggota penguat kuasa di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan jalan raya berada pada tahap optimum sepanjang tempoh perayaan itu.
“Daripada jumlah itu, 5,136 notis telah dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 59 kenderaan disita atas kesalahan serius.
“Bagi kesalahan lebih muatan pula, 45 kes dikesan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada kes direkodkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam usaha mengekang kesalahan berisiko tinggi, JPJ Perak memberi tumpuan terhadap tujuh kesalahan utama.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memakai tali pinggang keledar dengan 85 kes, tidak mematuhi lampu isyarat merah (49), memotong di garisan berkembar (36) dan tidak memakai topi keledar (32).
“Selain itu, kesalahan lain adalah memandu di lorong kanan secara berterusan (24), memotong secara bahaya (17 ) dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (11),” katanya.
Mohammad Yusoff berkata pemeriksaan turut dilaksanakan terhadap kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas ekspres, dengan 53 pemeriksaan dijalankan di depot dan 260 di terminal.
“Sebanyak enam perjalanan penyamaran bas turut dilaksanakan bagi memantau tahap pematuhan pemandu,” katanya.
Beliau berkata melalui kerjasama strategik bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak, 158 pemandu telah disaring menerusi ujian air kencing dan seorang pemandu didapati gagal ujian tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial