SEPANG, 15 April (Bernama) -- Persiapan Tabung Haji (TH) bagi musim haji 1447H/2026M mencapai 100 peratus dengan semua aspek utama telah dirancang serta diselaraskan dengan teliti menjelang penerbangan pertama pada 18 April ini.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1447H, Mohd Norber Kassim berkata hanya beberapa penyesuaian kecil mungkin dilakukan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perubahan baharu.
“Saya boleh katakan persiapan hampir 100 peratus. Mungkin ada sedikit penyesuaian di sana sini disebabkan mungkin ada perubahan baharu. Secara keseluruhannya, kita telah bersedia sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas sesi Lawatan Media bagi Operasi Musim Haji 1447H/ 2026M, di sini, hari ini.
Mohd Norber berkata operasi haji tahun ini melibatkan lapan stesen TH di seluruh negara, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi stesen utama manakala tujuh lagi adalah stesen luar di seluruh negara.
"Semua perancangan telah dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Penyelesaian Operasi Haji Tanah Air yang diadakan bagi memastikan kelancaran setiap urusan pada setiap kali musim haji.
“Dalam mesyuarat ini, TH telah berbincang dengan semua agensi yang terlibat di stesen berkenaan untuk memastikan urusan keberangkatan jemaah berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya.
Beliau berkata penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan berlepas ke Tanah Suci Sabtu ini dengan pemeriksaan masuk atau lapor diri akan bermula sehari lebih awal, iaitu pada 10 malam, Jumaat.
"Bagi penerbangan pertama, 284 jemaah haji akan berlepas ke tanah suci menggunakan pesawat Malaysia Airlines. Insya-Allah penerbangan akan mengikut ketetapan dan juga keperluan yang telah dirancang," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Norber berkata TH turut memberi penekanan terhadap aspek kesihatan jemaah haji yang disifatkan sebagai keperluan penting dalam memastikan kelancaran urusan di Tanah Suci.
"Pengurusan aktiviti berkaitan haji seperti tawaran menunaikan haji, jadual penerbangan, urusan kursus, visa, pasport, penyelarasan penerbangan serta kelengkapan jemaah telah dilaksanakan dengan teratur. Kesemua maklumat telah dikongsikan kepada bakal jemaah haji," katanya.
Dalam usaha memastikan pengurusan yang cekap, beliau berkata TH telah memberikan latihan dan bimbingan rapi kepada petugas haji merangkumi penugasan petugas yang akan membantu dan membimbing jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci serta di tanah air.
Media sebelum ini melaporkan seramai 141 petugas haji terdiri daripada kakitangan TH dan Kementerian Kesihatan berlepas ke Arab Saudi pada 11 April manakala 107 petugas haji berlepas hari ini untuk melaksanakan persiapan operasi haji sebelum ketibaan 31,600 bakal jemaah haji Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial