KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Isu berkaitan tapak, pengambilan tanah dan bantahan penduduk antara punca utama kelewatan projek infrastruktur luar bandar, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Beliau berkata masalah kontraktor, isu utiliti dan pihak berkuasa tempatan turut menjejaskan tempoh pelaksanaan projek.
“Selain itu, kekangan akses ke tapak projek di kawasan pedalaman serta keperluan perubahan jajaran projek turut memberi kesan terhadap tempoh pelaksanaan projek,” katanya ketika menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali di Dewan Negara hari ini.
Rubiah berkata bagi mengatasi cabaran itu, kementerian telah melaksanakan empat strategi utama termasuk pelaporan secara berterusan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian.
Selain itu, Rubiah berkata kementerian juga memperkukuh penyelarasan antara Persekutuan dengan kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, penggunaan Sistem MyProjek bagi pemantauan berkala serta pemantauan lapangan untuk intervensi segera.
Menjawab soalan tambahan mengenai kriteria pemilihan dan kualiti projek, beliau berkata setiap projek infrastruktur asas luar bandar dilaksanakan secara telus dan mematuhi piawaian teknikal serta keselamatan yang ketat.
“Kementerian ini sentiasa komited dalam memastikan projek pembangunan luar bandar dilaksanakan secara cekap mengikut perancangan yang ditetapkan. Dalam pelaksanaan projek-projek infrastruktur luar bandar, kementerian ini sentiasa dikawal selia mengikut garis panduan, khususnya piawaian teknikal dan keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial