KUALA NERUS, 24 Feb (Bernama) -- Seorang saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar sejarah tersendiri apabila namanya diabadikan sebagai nama bagi spesies baharu parasit ikan ditemukan, iaitu Thelohanellus borkhanuddini.
UMT dalam kenyataan hari ini memaklumkan penghormatan itu diberikan kepada bekas Ketua Program Biologi Marin UMT Profesor Madya Dr Hafiz Borkhanuddin atas dedikasi dan sumbangan beliau dalam bidang parasitologi ikan serta ekologi invertebrata.
Kenyataan itu memaklumkan spesies baharu dalam genus Thelohanellus dijumpai oleh penyelidik Hungary dan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Aquaculture Reports selain turut mendapat liputan media sains terkemuka National Geographic.
"Penemuan itu bukan sekadar pencapaian taksonomi, sebaliknya memberi implikasi langsung terhadap kesihatan ikan ternakan, produktiviti industri akuakultur dan kelestarian sumber protein akuatik dunia, khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan makanan global.
"Penamaan spesies baharu dalam taksonomi saintifik itu adalah satu bentuk penghormatan akademik yang tinggi dan berkekalan kerana nama tersebut akan terus direkodkan dalam literatur saintifik selagi spesies itu diiktiraf oleh komuniti penyelidik antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Hafiz yang menyandang jawatan Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT berkata pengiktirafan tersebut adalah yang tertinggi pernah diterima beliau sepanjang perjalanan kerjayanya.
Memiliki kepakaran dalam bidang sains marin dan parasitologi ikan, beliau tidak menyangka namanya akan diabadikan sebagai sebahagian daripada rekod taksonomi dunia.
"Penamaan spesies ini membuktikan bahawa penyelidikan asas yang dijalankan secara tekun, bermula daripada skala makmal dan lapangan sederhana, mampu memberi impak besar kepada komuniti saintifik antarabangsa.
"Ia juga membuktikan bahawa sokongan dan pelaburan universiti dalam pembangunan bakat dan kepakaran akan membuahkan hasil pada akhirnya," katanya sambil menambah kejayaan itu adalah pengiktirafan kepada semua warga UMT.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial