Ad Banner
 AM > BERITA

UniSZA Agih Sumbangan Kotak Ramadan Kepada Lebih 300 Pekerja Sokongan

26/02/2026 04:33 PM

KUALA NERUS, 26 Feb (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif mengagihkan sumbangan Kotak Ramadan kepada 354 pekerja sokongan sebagai menghargai sumbangan mereka terhadap universiti itu.

Naib Canselor UniSZA Prof Dr Fadzli Adam dalam satu kenyataan hari ini berkata setiap individu menerima barangan keperluan asas seperti beras yang disumbangkan oleh Persatuan Staf Akademik UniSZA (PSA UniSZA).

Beliau berkata sumbangan tersebut mencerminkan nilai solidariti dan ukhuwah kukuh dalam kalangan kakitangan UniSZA yang diharap dapat menyemai keberkatan serta mengeratkan lagi hubungan antara mereka.

Ad Banner
Ad Banner

"Penerima (sumbangan) termasuk 297 pekerja pembersihan, pembantu awam (42 orang) dan pengawal keselamatan (17 orang) di tiga cawangan iaitu Kampus Induk Gong Badak, Kuala Nerus; Kampus Kota, Kuala Terengganu dan Kampus Kampung Raja, Besut.

"Para janitor (penjaga bangunan) dan petugas sokongan lain bukan sekadar pekerja kontrak, tetapi sebahagian daripada keluarga besar UniSZA. Mereka umpama wira tidak didendang yang memberi imej baik kepada universiti melalui komitmen kebersihan, keindahan dan kekemasan kampus," katanya.

Dalam pada itu, Fadzli berkata tahun ini UniSZA meneruskan agihan sumbangan 500 pek makanan kepada pelajar, kakitangan dan komuniti setempat setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan hasil kutipan sumbangan daripada warga universiti, orang ramai dan pihak syarikat yang mengambil peluang menambah amal sedekah pada bulan yang mulia ini.

"Setiap hari UniSZA membelanjakan kira-kira RM4,000 untuk menyiapkan juadah yang diagihkan bermula 4 petang. Proses memasak dijalankan secara gotong-royong setiap hari bermula 10 pagi oleh warga universiti termasuk kakitangan dan pelajar.

"Agihan juadah ini bukan sahaja mampu meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan, malah dapat mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti sekitar Kuala Nerus," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan