Oleh Fadzli Ramli
BEAUFORT, 26 Feb (Bernama) -- Jumlah laluan yang ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas akibat banjir di daerah Beaufort meningkat kepada tujuh setakat petang ini, berbanding lima pada pagi tadi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan dua laluan terbaharu yang tidak boleh dilalui kenderaan ialah Jalan Beaufort–Menumbok dan Jalan Bangkalalak.
Menurut kenyataan itu, penutupan Jalan Beaufort–Menumbok melibatkan kawasan dari Bulatan Bingkul, Kolej Komuniti Beaufort dan Kampung Bingkul hingga ke Bulatan Limbawang, susulan paras Sungai Padas yang meningkat ke tahap bahaya.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan Jalan Limbawang sebagai laluan alternatif.
Bagi Jalan Bangkalalak yang ditutup akibat banjir susulan hujan berterusan, JKR Sabah memaklumkan tiada laluan alternatif disediakan setakat ini.
Terdahulu, lima laluan diisytiharkan ditutup sepenuhnya tanpa laluan alternatif, iaitu Jalan Bintuka, Jalan SRK Batu 60, Jalan Lumatai, Jalan Binunuk dan Jalan Luagan, berikutan peningkatan paras air sungai.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan awal dan sementara menerusi pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sudah dilaksanakan di semua kawasan terjejas.
Sementara itu, Pekan Beaufort turut dilanda banjir, menyebabkan penduduk sukar mendapatkan barangan keperluan. Laluan di pekan berkenaan, yang juga antara jalan utama menghubungkan kawasan itu ke Kota Kinabalu, tidak dapat dilalui.
Seorang penduduk, Hassan Sani, 36, berkata banjir di Pekan Beaufort berlaku berikutan kedudukannya yang terletak berhampiran Sungai Padas dan limpahan air sungai akibat hujan lebat berterusan.
“Tahun 1996 paling teruk sehingga tidak dapat membezakan antara sungai dan jalan. Tahun ini kita harap tidak teruk seperti tahun itu. Sekarang pun sukar ke mana-mana kerana banyak jalan sudah ditenggelami air,” kata pemandu lori itu ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat berkata banjir yang melanda Beaufort ketika ini menjejaskan ramai penduduk dan menyeru orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, terutama kanak-kanak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial