Ad Banner
 AM > BERITA

HAWANA 2026 Pilih Pulau Pinang Sebagai Tuan Rumah - Fahmi

27/02/2026 10:16 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bakal berlangsung di Pulau Pinang pada bulan Jun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata sambutan itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

"Lokasinya di Pulau Pinang… tetapi ada sedikit perubahan pada tarikh dan (kita) sedang membuat pengesahan," katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa Perdana Menteri bersama penggiat media dan pempengaruh di sini malam ini.

Ad Banner
Ad Banner

Sambutan HAWANA 2025 telah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, yang menjadi platform penting dalam menghargai peranan pengamal media di Malaysia selain memperkukuh ekosistem kewartawanan.

Bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika", perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana.

Sebelum ini, sambutan HAWANA ini pernah diadakan di Melaka, Ipoh dan Kuching.

Terdahulu, Anwar tiba di Kompleks Seri Perdana pada 6.20 petang dan meluangkan masa mendengar tazkirah ramadan bertajuk Ramadan: Fastabiqul Khairat (Berlumba Mengejar Kebaikan) yang disampaikan Al-Fadhil Ustaz Harryanto Rizal Rokman.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Selesai berbuka puasa, Perdana Menteri bersama dengan kepimpinan tertinggi dan warga media menunaikan solat maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Editor Sinar Islam Ustaz Muhamad Tarmize Mohd Nor.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan