Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelajar IPG Lemas: KPM Ambil Tanggungjawab Penuh, Semak Semula SOP Aktiviti Luar

07/04/2026 11:31 AM

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi penganjuran aktiviti luar melibatkan semua institusi di bawah kelolaannya bagi memastikan aspek keselamatan dapat diperkukuh.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah ini susulan insiden kemalangan yang mengorbankan dua guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis ketika mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus di Pantai Merdeka pada Sabtu lepas.

Beliau berkata kementerian mengambil tanggungjawab penuh atas kemalangan yang berlaku.

Ad Banner
Ad Banner

"Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga. Siasatan yang telus, tuntas dan menyeluruh sedang berjalan. Sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan dan tiada sesiapa yang akan dilindungi," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya di sini, hari ini.

Fadhlina berkata beberapa pegawai yang terlibat secara langsung dalam penganjuran program itu akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis sehingga proses siasatan selesai.

Semalam, beliau hadir ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang dan Joey Ling Lin Siang.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan keluarga terdekat kedua-dua mendiang dan menyampaikan ucapan takziah. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan