Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PKB Jalin Kerjasama Strategik Penerbitan Digital Bersama Syarikat India, Thailand

08/04/2026 10:09 AM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama)-- Perbadanan Kota Buku (PKB), agensi di bawah Kementerian Pendidikan, memperkukuh hubungan serantau menerusi kerjasama strategik penerbitan digital dengan syarikat dari India dan Thailand bagi memperluas pengedaran kandungan merentas sempadan.

Kerjasama itu dijalin melalui permeteraian Surat Niat (LOI) pada 28 Mac lepas antara PKB dengan Sixthsense Publications dari India serta Mocca Group dan Silkworm International Co. Ltd. dari Thailand.

PKB menerusi satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu dilaksanakan melalui Seksyen Antarabangsa Platform Book Capital (mall.bookcapital.my), ekosistem digital yang dibangunkan khusus untuk memudahkan akses dan ketersediaan karya antarabangsa di pasaran Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar berkata kerjasama berkenaan menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan penerbitan global serta memupuk pertukaran ilmu dan kandungan merentas sempadan.

“PKB juga menghargai peluang untuk membina perkongsian yang saling menguntungkan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan landskap penerbitan serantau,” katanya.

Menurut PKB, kerjasama itu bertujuan untuk menyediakan laluan yang cekap dan mampan bagi penerbit antarabangsa menembusi pasaran Malaysia tanpa perlu menyimpan inventori fizikal.

"Dengan menggunakan model kemasukan pasaran berisiko rendah yang berpusat pada pengeluaran Cetakan Atas Permintaan (POD), rakan kerjasama dapat memastikan pesanan dipenuhi melalui ekosistem tempatan dan rangkaian serantau PKB," maklum kenyataan itu.

PKB memaklumkan fasa awal itu melibatkan penyertaan profil penerbit dan penyenaraian kira-kira 100 judul terpilih daripada setiap rakan kerjasama, merangkumi karya baharu mahupun koleksi sedia ada.

“Kerjasama berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada aspek pengedaran, malah merangkumi potensi jangka panjang dalam pertukaran hak cipta serta pengukuhan rangkaian penerbitan di rantau Asia Tenggara.

"Komitmen bersama antara PKB dan rakan kerjasama antarabangsa termasuk K.S. Pugalendi dari Sixthsense Publications, Sirirat Meesilp dari Mocca Group dan Trasvin Jittidecharak dari Silkworm International Co. Ltd melangkaui aspek pengedaran semata-mata," maklum kenyataan itu.

Menurut PKB, inisiatif tersebut dijangka menyokong pengedaran kandungan melalui penyelesaian digital, sekali gus menyumbang kepada evolusi berterusan ekosistem penerbitan antarabangsa.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan