KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan memperkenalkan Dana Khas Produksi Citra Nasional (CITRA) sebagai inisiatif untuk menggalakkan penerbitan karya berunsur kenegaraan dan perpaduan bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata permohonan dana itu dibuka kepada penggiat industri bermula 13 April, dan dijangka disalurkan pada akhir tahun ini.
“Kita tahu filem menjadi medium penting untuk masyarakat, nak cerita tentang sejarah dan tentang perpaduan. Jadi Kementerian (Komunikasi) dan MoF (Kementerian Kewangan) telah luluskan belanjawan di bawah FINAS untuk kita laksanakan program tahun ini yang akan diumumkan pada hari Seniman nanti.
“Ia tidak terhad kepada genre tertentu sahaja seperti peperangan kerana filem komedi, seram atau apa-apa sahaja bentuk penceritaan boleh dipertimbangkan, selagi mesej yang disampaikan menyentuh elemen perpaduan dan kecintaan terhadap negara,” katanya kepada pemberita selepas sesi Simposium Industri Kreatif 2026, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac.
Azmir Saifuddin berkata kriteria permohonan Dana CITRA hampir sama seperti dana penerbitan konten kreatif sedia ada, namun penekanan diberikan kepada kekuatan penceritaan yang mampu menyampaikan nilai kenegaraan secara berkesan.
Sementara itu, beliau berkata prestasi kutipan pecah panggung (box office) filem tempatan tahun lepas menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan jumlah kutipan sebanyak RM244 juta, berbanding RM125 juta pada 2024 dan RM108 juta pada 2023.
Beliau berkata pencapaian tersebut menjadi petunjuk positif kepada perkembangan industri perfileman tempatan, namun cabaran seterusnya adalah untuk mengekalkan momentum berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata FINAS bekerjasama dengan pemain industri termasuk syarikat produksi bagi memastikan lebih banyak karya tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa melalui platform digital dan penstriman.
“Saya bersama pihak FINAS sentiasa berbincang dengan syarikat-syarikat produksi termasuk Astro, Media Prima dan juga program-program lain, bagaimana kita nak mengekalkan momentum tentang penontonan dan membawa lebih ramai penonton,” katanya.
Beliau berkata FINAS juga bakal memberi tumpuan kepada tiga bidang strategik antaranya usaha menjadikan Malaysia sebagai hab penggambaran bagi produksi tempatan dan antarabangsa termasuk rancangan realiti dan kandungan berskrip.
Menurutnya, perkembangan itu bukan sahaja memperkukuh ekosistem industri kreatif negara, malah secara tidak langsung membantu menjana ekonomi sektor lain seperti pelancongan, perhotelan serta perkhidmatan.
“Malaysia mempunyai infrastruktur, fasiliti serta tenaga kerja yang berkemahiran, sekali gus menjadikannya destinasi pilihan bagi produksi luar negara,” katanya.
Azmir Saifuddin berkata pembangunan sektor animasi turut menjadi antara fokus utama termasuk memperkukuh penciptaan harta intelek (IP) tempatan.
“Malaysia kini berpotensi menjadi hab serantau bagi aktiviti penyumberan luar dalam penghasilan animasi oleh syarikat antarabangsa.
“FINAS juga bekerjasama dengan institusi pendidikan bagi menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang animasi supaya mereka mempunyai peluang kerjaya apabila tamat pengajian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial