LONDON, 17 Jun (Bernama-Anadolu) -- Paus Leo pada Selasa menyuarakan harapan bahawa memorandum persefahaman baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dapat membantu menamatkan permusuhan, sambil menggesa dialog diteruskan bagi mengelakkan konflik berulang, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Vatican News.
Menurut laporan Vatican News, Paus itu mengalu-alukan perkembangan diplomatik terkini dengan berkata: "Syukur kepada Tuhan, sekurang-kurangnya ada memorandum ini yang akan ditandatangani secara rasmi pada Jumaat."
"Masih terdapat beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan, namun ia sentiasa lebih baik dilakukan melalui dialog dan rundingan berbanding kembali kepada peperangan."
Ketua Gereja Katolik itu turut menyatakan harapan bahawa perjanjian berkenaan mampu menjadi titik perubahan dalam konflik itu.
Beliau berkata memorandum itu diharapkan dapat menjadi "penyelesaian sebenar kepada perang, bahawa perang benar-benar telah berakhir dan kita boleh bergerak ke hadapan demi kebaikan semua pihak.
"Hapuskan senjata nuklear, ya, carilah kebaikan untuk semua rakyat dan usahakan penyelesaian terhadap masalah ekonomi dan sosial yang timbul sepanjang tempoh ini."
Mengulas isu migrasi dalam sesi yang sama, Paus Leo sekali lagi menyeru agar maruah manusia dihormati serta pendekatan yang lebih berperikemanusiaan terhadap golongan yang kehilangan tempat tinggal.
"Sering kali kita tidak memahami sebab mereka terpaksa meninggalkan negara asal.
"Banyak sebabnya termasuk keganasan, peperangan dan konflik.
"Oleh itu, sekadar berkata, 'Mari kita hantar mereka keluar supaya kita dapat melepaskan diri daripada masalah ini' bukanlah tindak balas yang paling mencerminkan nilai Kristian.
"Kita mesti benar-benar menghormati manusia, meneliti setiap kes dan yang paling penting, melayan mereka sebagai manusia dengan penuh hormat," katanya.
Paus itu mengaitkan isu berkenaan dengan perbahasan yang lebih meluas di Eropah susulan perkembangan terkini dasar migrasi, sambil menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada penyelesaian yang berperikemanusiaan berasaskan dialog dan solidariti.
AS dan Iran awal minggu ini mengumumkan bahawa kedua-dua negara telah mencapai memorandum persefahaman untuk menamatkan perang yang dilancarkan AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Feb. Perjanjian itu turut menetapkan bahawa tentera Israel perlu berundur dari Lubnan.
Walaupun Presiden AS Donald Trump berkata perjanjian itu telah ditandatangani dan Selat Hormuz akan "dibuka semula sepenuhnya menjelang Jumaat", Tehran memaklumkan bahawa memorandum itu hanya dijadualkan ditandatangani di Geneva, Switzerland pada Jumaat.
Sejak 2 Mac, Israel melancarkan operasi ketenteraan di Lubnan yang mengorbankan dan mencederakan ribuan orang serta menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut angka rasmi terkini.
Israel turut menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya sejak beberapa dekad lalu dan sebahagian lagi sejak perang 2023-2024, selain mara lebih 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan sepanjang konflik semasa.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial