KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kerjasama Malaysia dengan China perlu diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk golongan belia, khususnya dalam bidang pendidikan, teknologi dan keusahawanan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol.
Beliau berkata penglibatan dua hala itu seharusnya menghasilkan impak yang memberikan manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang, terutama ketika kedua-dua negara meneruskan agenda pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan Rancangan Lima Tahun China Ke-15.
“Daripada perspektif pembangunan negara, kemajuan hanya bermakna apabila ia benar-benar mewujudkan peluang untuk generasi akan datang.
“Dasar dan kerjasama sama ada dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa akhirnya akan membentuk masa hadapan golongan muda,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Malaysia Friends of Silk Road Club, semalam.
Mordi berkata dasar dan kerjasama itu akan menjadi penyumbang penting dalam memenuhi keperluan untuk belia, termasuk kebolehpasaran, pembangunan kemahiran serta ketahanan dalam persekitaran global.
“Kita sedang menyaksikan perubahan asas terhadap keperluan masa hadapan. Golongan muda hari ini bukan sekadar memerlukan pengetahuan akademik semata-mata.
“Mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran digital, pemikiran inovatif, kesedaran alam sekitar dan keyakinan untuk berinteraksi merentas budaya,” katanya.
Beliau berkata Rancangan Malaysia Ke-13 dan Rancangan Lima Tahun China Ke-15 bukan sekadar kerangka dasar, sebaliknya berperanan sebagai hala tuju yang akan mempengaruhi perkembangan negara masing-masing, khususnya golongan belia.
Mordi berkata ketika Malaysia terus menjalinkan kerjasama dengan rakan seperti China, tumpuan kekal konsisten, iaitu memastikan setiap kerjasama menyumbang kepada pertumbuhan mampan serta mewujudkan nilai jangka panjang yang bermakna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial