Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Keputusan kerajaan meningkatkan kadar campuran biodiesel kepada B15 dilihat sebagai langkah strategik dalam mendepani ketidaktentuan harga bahan api global sekali gus berpotensi meredakan tekanan kos, memperkukuh bekalan dan menyokong agenda kelestarian negara.
Langkah yang dipacu krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat itu tidak sekadar bersifat reaktif sebaliknya mencerminkan pendekatan pragmatik dengan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia bagi mengurangkan kebergantungan kepada import diesel secara berperingkat.
Secara asas, B15 merujuk kepada campuran 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dengan 85 peratus diesel petroleum berbanding B10 ketika ini.
Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula dengan B12 tanpa melibatkan kos tambahan seperti dipersetujui pada dasarnya oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Pakar berpandangan walaupun kesannya terhadap harga mungkin tidak drastik, pendekatan itu tetap memberi "ruang bernafas" kepada pengguna diesel khususnya sektor pengangkutan dan perindustrian.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Abdul Aziz berkata peningkatan campuran biodiesel mampu mengurangkan kebergantungan kepada diesel import meskipun pada kadar sekitar lima peratus.
“Pengurangan ini mungkin nampak kecil tetapi jika harga minyak kekal stabil, ditambah dengan peningkatan adunan biodiesel, saya berpandangan harga diesel boleh dikurangkan sedikit.
"Sekurang-kurangnya, ada kelegaan kepada pengguna kenderaan pikap, sektor logistik dan perindustrian,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam taklimat krisis tenaga global berkata kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan konflik di Asia Barat.
MTEN juga bersetuju biodiesel ialah antara sumber biobahan api alternatif paling praktikal dan sedia dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Selain aspek kos, langkah itu memberi kelebihan dari sudut keselamatan tenaga negara.
Ketua Kompleks Biorefineri UPM Profesor Dr Hidayah Ariffin pula berkata peningkatan campuran biodiesel mampu memanjangkan tempoh simpanan stok diesel domestik sekali gus memastikan kestabilan bekalan dalam tempoh krisis yang dijangka mengambil masa hingga 18 bulan untuk pulih.
“Biodiesel merupakan bahan api boleh diperbaharui yang dihasilkan daripada sumber tempatan... dengan fasiliti sedia ada, peningkatan daripada B10 kepada B15 dijangka tidak melibatkan perubahan kos pengeluaran yang ketara,” katanya.
Beliau juga berkata kebimbangan terhadap kesan terhadap enjin kenderaan adalah minimum memandangkan biodiesel teradun seperti B10 dan B15 boleh digunakan terus tanpa pengubahsuaian.
"Malah, pengalaman Indonesia yang telah melaksanakan dasar B40 dan kini mempertimbangkan B50 menunjukkan penggunaan biodiesel secara meluas tidak menjejaskan prestasi kenderaan… ini menjadikan ia praktikal dan mudah dilaksanakan khususnya dalam sektor pengangkutan, logistik, pertanian dan perkhidmatan yang sangat bergantung kepada diesel,” katanya.
Pada masa sama, Hidayah berkata penggunaan biodiesel turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan pencemaran udara selari dengan sasaran peralihan tenaga negara ke arah sumber lebih bersih serta lestari.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Dr Chong Siew Huay mengingatkan bahawa biodiesel bukanlah penyelesaian mutlak untuk jangka panjang.
Sebaliknya, beliau menyifatkan ia sebagai "jambatan tenaga", iaitu satu penyelesaian sementara dengan kos yang efektif kerana tidak memerlukan pembangunan infrastruktur baharu secara besar-besaran namun mampu mengurangkan kebergantungan kepada diesel konvensional.
Chong berkata pendekatan berperingkat itu juga penting untuk mengelakkan kejutan pasaran khususnya dalam keadaan harga minyak sawit dan minyak global yang tidak menentu.
“Namun, biodiesel mempunyai limitasi dari segi kelestarian dan kebergantungan kepada komoditi khususnya minyak sawit... justeru, ia bukan penyelesaian jangka panjang sepenuhnya tetapi lebih kepada langkah peralihan.
“Dalam konteks semasa, biodiesel boleh dianggap sebagai 'jambatan tenaga' untuk membantu negara beralih ke arah sistem tenaga lebih bersih secara berperingkat tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi dan sistem sedia ada,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial