Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Setuju Lengkapkan AKPS Dengan Senjata - Saifuddin Nasution

17/04/2026 06:48 PM

PELABUHAN KLANG, 17 April (Bernama) -- Kerajaan bersetuju untuk melengkapkan keperluan persenjataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan perolehan akan dimulakan sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat masing-masing dengan kementerian dan Jemaah Menteri telah bersetuju terhadap keperluan itu susulan kes tembakan terhadap Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin Mohd Nasir pada Februari lepas. 

“Keperluan persenjataan itu kita telah setujui cuma jenisnya sahaja, senjata ini banyak bentuk taser gun misalnya atau senjata ringan seperti pistol. Kedua-dua opsyen ini sedang diteliti Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri sesuai dengan arahan Jemaah Menteri, saya sampaikan kepada beliau untuk pelaksanaan. 

Ad Banner

“Dari segi fasa pelaksanaan, kita nak persiapkan mereka dengan yang mana dulu sama ada taser gun atau pistol atau serentak, ini akan diperhalusi oleh Ketua Setiausaha Kementerian,” katanya pada sidang media Program Pemurnian Al-Quran Kementerian Dalam Negeri di Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata perkara berkenaan tidak boleh dilengahkan lagi mengambil kira penugasan AKPS yang berisiko tinggi dan sebarang perkembangan mengenai perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata kerajaan bersedia menyokong keperluan AKPS termasuk dari segi persenjataan dan kelengkapan keselamatan bagi memastikan agensi itu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Ad Banner

Dalam kejadian 25 Feb lepas, sebuah Proton X70 dipandu Mohd Nasaruddin dilaporkan ditembak kira-kira 5.40 pagi di susur masuk berhampiran Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, Kedah lebih kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Mohd Nasaruddin yang dalam perjalanan menunaikan solat subuh terselamat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan