Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

DSA-NatSec Asia 2026 Sasar Perkasa Komponen Tempatan, Catat Rekod Penyertaan Global

19/04/2026 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Penyertaan meluas syarikat tempatan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 adalah selaras dengan matlamat Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk mencapai 30 peratus penggunaan komponen tempatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pada edisi kali ini, sebanyak 368 syarikat Malaysia terlibat dalam segmen baharu iaitu pavilion Gabungan Industri Pertahanan Malaysia yang mempamerkan pelbagai produk dan keupayaan masing-masing.

"Dasar 30 peratus mesti komponen tempatan, kita percaya dan yakin ia boleh dicapai kerana banyak syarikat tempatan telah ke hadapan untuk tunjukkan produk mereka yang boleh diambil kira, dipertimbangkan untuk syarikat pengeluar peralatan asal (OEM)," katanya.

Ad Banner

Beliau bercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini, selepas meninjau persiapan akhir pameran itu yang akan bermula esok hingga Khamis.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Mohamed Khaled berkata pameran edisi ke-19  itu, yang bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok, mencatatkan rekod penyertaan 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara, berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada 2024.

Beliau berkata pameran bertema “Memperkasa Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi” itu turut melibatkan 37 pavilion negara termasuk penampilan sulung dari Croatia, Finland, Hungary, Jepun dan Rusia.

Mengulas mengenai ketidakhadiran wakil pempamer dari Iran pada saat akhir, beliau berkata penarikan diri tersebut berpunca daripada cabaran logistik di Selat Hormuz dan bukannya faktor politik.

Beliau berkata konflik di Asia Barat serta rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran tidak akan dijadikan subjek perbincangan dalam mana-mana forum pameran itu bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses rundingan yang sedang berlangsung antara kedua-dua negara terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata situasi di Selat Hormuz tidak akan berlaku di Selat Melaka memandangkan Malaysia, Indonesia dan Singapura sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa serta menjunjung prinsip kebebasan pelayaran dan perdagangan.

Mohamed Khaled berkata keistimewaan DSA dan NatSec Asia 2026 adalah peranannya sebagai platform neutral dan terbuka, sekali gus mencerminkan pendirian Malaysia sebagai negara berkecuali.

“Tidak seperti negara lain, bila penganjuran sebegini diadakan, ia hanya menjemput dan disertai oleh negara yang sealiran dengan negara yang menganjurkan. Namun bagi Malaysia, apabila kita menganjurkan acara ini, ia sebenarnya merupakan satu platform berkecuali yang negara terlibat dalam konflik turut hadir untuk mempamerkan semua produk serta aset mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan Kementerian Pertahanan bakal menyampaikan dokumen Program Kolaborasi Industri (ICP) yang dianggarkan bernilai RM1.4 bilion kepada beberapa syarikat yang berjaya, bagi tujuan pemindahan teknologi dan kepakaran.

“ICP ini sangat penting kerana melaluinya kita dapat meningkatkan keupayaan negara sama ada dalam soal penyelenggaraan ataupun untuk membina komponen bagi mana-mana aset, ataupun pada akhirnya kita dapat mengeluarkan aset yang memang diperlukan untuk negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan