SHAH ALAM, 6 Mei (Bernama) -- Seorang pesara guru tidak menyangka akan berkongsi pentas dengan anak sulungnya apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan menerima ijazah itu bersama-sama pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-104, hari ini.
Hal ini kerana tarikh pendaftaran kemasukan semester mereka berbeza walaupun pada tahun yang sama, iaitu pada 2021, namun akhirnya Dr Jafni Ghazali, 60, dan anak sulungnya Dr Nurul Huda Jafni, 29, berjaya menghabiskan pengajian PhD dalam bidang Pengurusan Perniagaan.
Jafni, yang juga bekas Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian di Nibong Tebal, Pulau Pinang berkata perjalanannya menggenggam segulung ijazah PhD bukanlah mudah, apatah lagi beliau sendiri bergelut dengan masa ketika bekerja dan berlawan dengan perasaan sendiri untuk kekal komited meneruskan pengajian, apabila sudah berpencen.
"Ketika berkhidmat sebagai pengetua, saya bergelut dengan waktu kerja, tetapi apabila sudah pencen saya berfikir sama ada nak teruskan pengajian ini atau tidak.
"Saya akui PhD bukan mudah dan perjalanannya memang kena laluinya sendirian, tetapi saya beruntung ada anak bersama-sama untuk kami berkongsi perjalanan pengajian ini,” katanya ketika ditemui pada istiadat itu di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM, di sini.
Berkongsi pengalamannya sepanjang pengajian, Jafni berkata cabaran terbesar ialah menyiapkan penyelidikan semasa masih bertugas sebagai pendidik dan mengejar masa untuk menghantar laporan ketika tarikh akhir semakin menghampiri.
Sementara itu, Nurul Huda meluahkan rasa syukur kerana dapat mengharungi pengajian peringkat tertinggi itu bersama-sama bapanya sehingga dapat merakam detik paling berharga apabila menyarung jubah yang sama dan duduk bersebelahan di dalam dewan semasa istiadat konvokesyen itu.
“Terharu dapat menerima ijazah dengan ayah. Walaupun kami daftar pada tahun yang sama, kami tidak jamin akan habis pengajian bersama kerana PhD ialah perjalanan yang panjang.
“Tetapi, selepas laporan penyelidikan kami diterima walaupun viva masing-masing berbeza seminggu, akhirnya dapat menamatkan pengajian bersama," katanya yang kini bekerja sebagai pakar komunikasi serantau di sebuah syarikat di Kulim, Kedah.
Nurul Huda berkata konvokesyen kali ini juga lebih manis kerana menjadi pengalaman pertama bagi dirinya menaiki pentas menerima ijazah selepas tidak berpeluang berbuat demikian ketika menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia kerana menyambung pengajian di Manchester.
Malah, ketika peringkat Sarjana di University of Manchester, beliau sekali lagi tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen berikutan kekangan pandemik COVID-19.
Sebanyak 25,336 graduan dijadualkan menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang pada istiadat konvokesyen kali ini yang bermula dari 6 hingga 23 Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial