Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kesan Selepas Kemalangan: Awasi Kecederaan Kepala Yang Tidak Kelihatan

12/05/2026 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Kecederaan kepala adalah antara kesan kemalangan jalan raya paling membimbangkan, daripada gegaran otak sehingga trauma otak yang serius dan keretakan tengkorak.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Cyrus Lai Sin Nan dalam kenyataan berkata kemalangan jalan raya kekal sebagai satu daripada punca utama kecederaan otak traumatik di Malaysia dan seluruh dunia.

Beliau berkata kecederaan ini boleh berlaku akibat hentakan terus pada kepala, daya mendadak apabila badan tercampak ke depan dan ke belakang, atau pergerakan berpusing semasa impak, dengan beberapa kes melibatkan pendarahan otak atau keretakan tengkorak yang memerlukan intervensi segera.

Ad Banner
Ad Banner

"Pesakit mungkin kelihatan baik pada awalnya, tetapi sebenarnya mengalami pendarahan dalaman, pembengkakan otak atau keretakan tengkorak. Kecederaan kepala yang serius boleh berkembang dalam tempoh beberapa jam, dengan gejala dan status neurologikal perlu dipantau dengan teliti," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak semua kecederaan kepala membawa tahap risiko yang sama kerana kecederaan itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Gegaran otak boleh menjejaskan otak secara sementara, manakala kecederaan lebih serius mungkin mengakibatkan pendarahan atau pembengkakan otak. Keretakan tengkorak pula berlaku apabila impak cukup kuat sehingga meretakkan atau memecahkan tulang yang melindungi otak.

Dr Cyrus berkata kecederaan kepala boleh melibatkan kecederaan primer, iaitu apabila otak terjejas pada saat hentakan berlaku akibat daya langsung, pergerakan pecutan-nyahpecutan atau tekanan disebabkan pergerakan berpusing, serta kecederaan sekunder apabila komplikasi seperti cerebral oedema (pembengkakan otak), hipoksia (kekurangan oksigen) atau hipotensi (tekanan darah rendah yang mengurangkan aliran darah ke otak) memburukkan trauma awal.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata perkara ini menjadikan kecederaan otak sukar dinilai berdasarkan keadaan kemalangan semata-mata kerana perlanggaran yang kurang serius juga masih boleh menjejaskan fungsi otak.

Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Saraf SMCV Dr Mah Jon Kooi berkata yang membezakan kecederaan ini bukan dilihat pada keadaan pesakit selepas kemalangan semata-mata, tetapi sama ada terdapat kerosakan struktur, tekanan pada otak atau keperluan untuk intervensi segera.

Beliau berkata walaupun tanpa pendarahan yang kelihatan atau luka terbuka, tisu lembut otak masih boleh terhentak di dalam tengkorak yang keras semasa impak berlaku, sekali gus menyebabkan kecederaan pada tahap sel dan fungsi, manakala gegaran otak juga boleh berlaku walaupun dalam perlanggaran berkelajuan rendah akibat daya putaran pada otak, meskipun keretakan otak lazimnya dikaitkan dengan kemalangan berimpak tinggi.

Walaupun sesetengah kecederaan kepala pada awalnya kelihatan ringan, gejala tertentu boleh memberikan tanda kepada trauma otak lebih serius dan memerlukan rawatan perubatan segera. Tanda awal mungkin termasuk sakit kepala berterusan, kekeliruan, hilang ingatan atau perubahan yang tidak ketara dalam pemikiran dan tingkah laku.

Apabila keadaan bertambah buruk, gejala mungkin menjadi lebih serius termasuk muntah berulang kali, sakit kepala yang semakin teruk, pertuturan tidak jelas, kelemahan atau kekebasan dan kesukaran mengawal koordinasi. Dalam kes yang lebih serius, tanda amaran termasuk saiz anak mata yang tidak sama, pendarahan atau cecair keluar dari hidung atau telinga, sawan dan pengsan.

Gejala ini mungkin tidak berlaku serta-merta selepas kemalangan. Seseorang mungkin kelihatan baik pada awalnya sebelum tanda amaran muncul beberapa jam kemudian.

Kemunculan gejala yang lewat ini menekankan kepentingan pemerhatian rapi dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam pertama, dengan ahli keluarga atau penjaga memantau perubahan kecil seperti kekeliruan, rasa mengantuk luar biasa, kesukaran memberikan tumpuan, atau perubahan dalam pertuturan dan koordinasi, yang mungkin menandakan masalah lebih serius.

Selain gejala fizikal, kecederaan kepala juga boleh menjejaskan emosi dan tingkah laku, terutamanya apabila lobus frontal terlibat. Individu mungkin mengalami kerengsaan, keresahan, kemurungan atau perubahan perubahan personaliti dan kawalan diri.

Kebanyakan gejala kecederaan kepala yang ringan pulih dalam tempoh seminggu atau dua minggu, atau mungkin berlanjutan selama beberapa minggu atau bulan, keadaan yang dikenali sebagai sindrom pascagegaran otak. Dalam kes lebih serius, kesan ini boleh berpanjangan atau kekal, sekali gus menekankan bahawa pentingnya pengesanan awal, pemantauan yang betul dan rawatan perubatan yang tepat pada masanya.

Sebaik sahaja disyaki terdapat kecederaan kepala, keutamaan bukan lagi sama ada pesakit itu kelihatan baik, tetapi sama ada otak dilindungi daripada kerosakan yang lebih teruk.

Di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E), penilaian bermula dengan menstabilkan pesakit, melindungi tulang belakang serviks jika perlu dan memeriksa fungsi neuorologi melalui tahap kesedaran, tindak balas anak mata dan kekuatan anggota badan.

Ujian pengimejan juga mungkin diperlukan. Dr Cyrus berkata imbasan CT boleh membantu mengesan pendarahan, pembengkakan atau keretakan yang tidak dapat dilihat melalui pemeriksaan klinikal sahaja, manakala dari perspektif bedah saraf pula, Dr Mah berkata komplikasi paling membimbangkan ialah keadaan yang meningkatkan tekanan di dalam tengkorak.

"Jika pendarahan merebak dan pembengkakan semakin teruk, aliran darah ke otak mungkin terhad dan meningkatkan risiko kerosakan neurologi yang kekal. Tengkorak yang keras membenarkan sedikit ruang pengembangan, dan tekanan berlebihan boleh menyekat aliran darah ke otak sehingga menyebabkan iskemia, iaitu keadaan apabila pengurangan aliran darah mengehadkan bekalan oksigen ke otak, selain kerosakan kekal," katanya.

Dalam kes serius, peningkatan tekanan dalam otak boleh menyebabkan herniasi otak, iaitu tisu otak termampat dan berubah kedudukan, menjadikan pengesanan awal dan pemantauan rapi amat penting. Selain pendarahan dan pembengkakan, kecederaan kepala juga boleh menjejaskan pemikiran, percakapan, pergerakan atau kelakukan seseorang, bergantung pada bahagian otak yang terlibat.

Dr Cyrus berkata rawatan kecederaan kepala menjadi lebih mendesak apabila imbasan menunjukkan pendarahan, pembengkakan atau tekanan yang menjejaskan otak dan pesakit yang kekal stabil perlu dipantau rapi, manakala mereka yang menunjukkan tanda neurologikal yang semakin buruk atau tekanan pada otak mungkin memerlukan penilaian segera oleh pakar bedah saraf.

"Sekiranya pesakit dibenarkan pulang, penjaga mesti terus memantau tanda amaran seperti sakit kepala yang semakin teruk, kerap muntah atau sering keliru, yang memerlukan pesakit segera kembali ke Jabatan A&E," katanya.

Menurut Dr Mah pula, pembedahan mungkin diperlukan apabila pendarahan bertambah besar, tekanan meningkat atau pesakit tidak memberikan respons terhadap rawatan awal.

Beliau berkata keutamaan adalah untuk mengurangkan tekanan, menghentikan pendarahan dan mengelakkan kerosakan lebih teruk pada otak. Selain fasa akut, proses pemulihan juga mungkin melibatkan rehabilitasi bagi menyokong pemulihan fizikal, kognitif dan fungsi harian, khususnya bagi pesakit yang mengalami gangguan neurologi atau kognitif.

Dalam beberapa kes yang teruk, kesannya boleh jadi berpanjangan atau berkekalan yang menjejaskan kebebasan, pergerakan atau keupayaan pesakit untuk kembali bekerja.

Sekiranya kecederaan kepala seperti gegaran, trauma otak atau keretakan tengkorak tidak dirawat segera, kesan jangka panjang boleh menjadi signifikan, termasuk gangguan kognitif berterusan seperti kehilangan memori dan kesukaran membuat keputusan serta perubahan emosi dan tingkah laku termasuk kemurungan dan pertukaran personaliti.

Di samping itu, kecederaan kepala yang tidak dirawat boleh meningkatkan risiko keadaan neurodegeneratif seperti penyakit Alzheimer, chronic traumatic encephalopathy (CTE) dan Parkinson.

Bagi kedua-dua pakar perunding, mesejnya jelas time is brain apabila melibatkan kecederaan otak dan diagnosis awal dapat mengelakkan kecederaan yang kelihatan kecil daripada berkembang menjadi keadaan yang lebih teruk.

Selepas sebarang hentakan kuat pada kepala, khususnya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya, mendapatkan pemeriksaan perubatan awal dan memantau gejala dengan teliti dapat memberikan perbezaan bermakna terhadap proses pemulihan, fungsi jangka panjang dan peluang untuk terus hidup.

-- BERNAMA

Penafian: Berita ini ialah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan