Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Petani Muda Buktikan Tanaman Melon Premium Boleh Jadi Lubuk Rezeki

12/05/2026 04:15 PM

PENDANG, 12 Mei (Bernama) -- Seorang petani muda di Kedah membuktikan sektor pertanian mampu menjadi lubuk rezeki kepada generasi muda, apabila berjaya mengusahakan ladang melon premium di Kampung Paya Sena, dekat sini.

Muhammad Farez Aiman Marzuki, 27, berkata dia bermula dengan tanaman cili sebelum beralih kepada tanaman melon secara fertigasi di dalam rumah hijau sejak tahun lepas.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila siswazah bidang pengurusan, Universiti Teknologi MARA itu berjaya menanam kira-kira 1,500 pokok melon semusim yang menghasilkan kira-kira 1,300 hingga 1,400 buah melon.

Ad Banner
Ad Banner

“Pasaran melon di Malaysia semakin meningkat dan saya ambil peluang untuk menjadi antara usahawan terawal yang mengusahakan tanaman melon, khususnya di Kedah.

“Saya tanam tujuh varieti melon, namun hanya tiga varieti dipasarkan kepada pembeli, iaitu Kirin, Chancai dan Sweet Emerald,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muhammad Farez Aiman berkata dia memilih sistem fertigasi kerana sistem itu membolehkan nutrien baja dibekalkan terus ke akar tanaman dan hasil boleh dituai dalam tempoh antara 65 hingga 75 hari.

Ad Banner
Ad Banner

Antara cabaran utama mengusahakan tanaman melon, katanya, termasuklah serangan serangga dan keadaan cuaca tidak menentu yang boleh menjejaskan hasil tanaman.

“Tahun lepas, kami berjaya mengusahakan tiga musim tanaman dengan jumlah keseluruhan hasil lebih 4,000 buah dengan anggaran purata berat ialah 1.5 hingga 2 kilogram (kg). Buah ini dijual pada harga RM12 sekilogram kepada pembeli di sekitar Pendang dan daerah lain di negeri ini,” katanya.

Muhammad Farez Aiman berkata varieti Kirin paling disukai pembeli kerana bentuk dan tekstur buah yang menarik selain kulit yang cantik.

"Saya berharap lebih ramai anak muda menceburi bidang sekuriti makanan dan tidak lagi memandang rendah sektor pertanian yang mampu menawarkan kerjaya yang stabil," katanya dan menambah akan mengadakan hari terbuka dengan menggunakan konsep "petik sendiri" kepada pembeli pada 15 hingga 17 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan