Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 13 Mei (Bernama) -- “Ya Allah, jadikan saya tetamu VVIP-Mu.”
Itulah doa yang tidak pernah lekang daripada bibir Zalipah Md Alwi setiap kali selesai solat sepanjang puluhan tahun menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Pada usia 73 tahun, doa yang dipanjatkan dalam diam itu akhirnya dimakbulkan apabila warga emas berkenaan kini berada di bumi haram sebagai duyufurrahman, sesuatu yang disifatkannya sebagai jemputan paling istimewa daripada Allah.
Zalipah yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur berkata dia tidak pernah meminta agar dipercepat giliran atau dipermudah dengan jalan singkat sebaliknya hanya memohon agar apabila tiba waktunya, dia dipilih sebagai tetamu bertuah Allah.
“Saya selalu doa macam itu… ‘Ya Allah, kalau sampai masa saya, jemputlah saya sebagai tetamu VVIP-Mu’. Saya percaya kalau Allah nak panggil, lambat macam mana pun kita tetap akan sampai,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Zalipah, istilah “tetamu VVIP Allah” membawa makna yang cukup mendalam buat dirinya, bukan merujuk kepada layanan istimewa sebaliknya rasa dimuliakan apabila Allah sendiri menyusun perjalanan seorang hamba untuk hadir ke rumah-Nya pada waktu terbaik.
Sepanjang menunggu jemputan itu, Zalipah berkata dia melalui pelbagai ujian hidup termasuk terpaksa menangguhkan hasrat sendiri demi menjaga ibunya yang uzur sehingga ke akhir hayat ketika pandemik COVID-19.
Dalam tempoh sama, dia bersama suami turut diuji apabila menjadi mangsa penipuan pakej umrah pada 2022 sehingga kerugian RM14,000.
Zalipah bagaimanapun menganggap segala ujian itu tidak pernah mematahkan keyakinannya, sebaliknya mengajarnya untuk terus bersabar dan bergantung sepenuhnya kepada Allah.
“Orang boleh buat kita, orang boleh tipu kita, tetapi rezeki Allah tak pernah salah alamat. Sebab itu saya tetap doa perkara yang sama… nak jadi tetamu VVIP Allah,” katanya.
Sebaik menjejakkan kaki ke Madinah, Zalipah berkata dia tidak mampu menahan air mata kerana merasakan seluruh penantian, pengorbanan dan doa yang dipendam sekian lama akhirnya terjawab.
“Masa sampai saya terus menangis… masa itu saya rasa Allah benar-benar dengar doa saya selama ini,” katanya penuh syukur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial