Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kepercayaan Waris Jemaah Jadi Pembakar Semangat Petugas Haji TH

14/05/2026 01:18 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 14 Mei (Bernama) -- Kepercayaan tinggi waris jemaah haji terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi pembakar semangat kepada petugas operasi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada dhuyufurrahman di Tanah Suci.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata amat tersentuh dengan komen seorang waris jemaah ketika mengikuti siaran langsung pelepasan jemaah haji di Facebook rasmi TH.

Ad Banner
Ad Banner

“Saya cukup terkesan dengan satu komen daripada waris atau anak jemaah yang menulis di ruangan komen ‘kami serahkan ibu ayah kami kepada Tabung Haji ya’.

“Daripada satu ayat itu sahaja, kita dapat faham betapa besar kepercayaan rakyat kepada Tabung Haji dan petugas,” katanya ketika berucap kepada petugas musim haji 1447H/2026M di sini hari ini.

Beliau berkata amanah besar itu perlu diterjemahkan melalui layanan terbaik kepada jemaah haji dengan penuh kesabaran, empati dan keikhlasan sepanjang musim haji.

Ad Banner
Ad Banner

“Mereka ini bukan hanya jemaah haji (tetapi) juga ibu bapa dan saudara-mara kita. Santuni mereka sebaik dan seikhlas mungkin dengan jiwa yang tenang dan hati yang lapang,” katanya.

Dalam pada itu, Mustakim berkata TH menyasarkan untuk mengekalkan Anugerah Labaytum daripada kerajaan Arab Saudi sejak empat tahun berturut-turut hasil komitmen petugas dan kualiti perkhidmatan kepada jemaah Malaysia.

Beliau berkata sasaran itu turut disokong Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) musim haji 1446H yang mencapai 93 peratus, melepasi sasaran asal 85 peratus.

Anugerah Labaytum ialah pengiktirafan tahunan diberikan kepada pengurus jemaah haji dari seluruh dunia yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Operasi haji musim 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April dengan 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas ke Madinah dan Makkah secara berperingkat menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan