BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kemajuan Projek ECRL Di Pahang Capai 97.3 Peratus Setakat April - Exco

14/05/2026 06:58 PM

KUANTAN, 14 Mei (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang telah mencapai 97.3 peratus tahap kemajuan setakat April lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Razali Kassim. 

Beliau berkata status kemajuan keseluruhan projek mega itu yang dijangka siap pada hujung tahun ini dan beroperasi Januari tahun depan pula mencatatkan 93.66 peratus. 

“Sektor pengangkutan Pahang menunjukkan perkembangan pesat dalam pembinaan infrastruktur antaranya menerusi pembangunan projek berimpak tinggi ECRL ini,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata jawatankuasa yang ditubuhkan akan mengenal pasti projek pelaburan dan pembangunan berhampiran di kawasan sekitar stesen ECRL.

“Projek pembangunan yang dirancang di sekitar stesen ECRL turut memberi tekanan kepada integrasi mod perjalanan terutamanya penyediaan rangkaian pengangkutan awam yang dapat meningkatkan mobiliti penduduk,” katanya. 

Beliau berkata antara projek kemudahan pengangkutan awam di kawasan stesen ECRL ialah Terminal Bersepadu di Stesen Bentong dan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu di Stesen Paya Besar, Kuantan.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah turut memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang telah menerima agihan antaranya bagi kerja pembaikan jalan, jambatan dan kerja rutin berjumlah RM298.8 juta setakat 1 Mei lepas. 

Beliau berkata daripada peruntukan tersebut, sebanyak 282 kerja menyelenggara sedang dilaksanakan di seluruh Pahang. 

"Bagi jalan negeri pula, sehingga 1 Mei lepas, JKR Pahang telah menerima peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sejumlah RM76.7 juta untuk kerja-kerja penyelenggaran di jalan negeri dan kampung," katanya. 

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana meluluskan 10 projek di bawah Kementerian Kerja Raya menerusi Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang merangkumi enam projek fizikal dan empat projek kajian awalan serta pengambilan balik tanah melibatkan kos lebih RM686 juta. 

Selain itu, beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah telah meluluskan tujuh projek fizikal bagi membina dan menaik taraf jalan serta jambatan luar bandar yang bernilai RM328.54 juta. 

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan