Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

54 Kapal GSF Berada Di Garisan Kuning Dua, Kira-kira 340 Batu Nautika Dari Pantai Gaza - SNCC

15/05/2026 07:54 PM

SEPANG, 15 Mei (Bernama) -- Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan 54 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di garisan kuning dua, iaitu kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata dalam tempoh beberapa jam ini, kapal-kapal berkenaan dijangka memasuki zon berisiko tinggi pada waktu malam, dengan potensi pemintasan oleh pihak rejim Zionis adalah sangat tinggi.

“SNCC menegaskan pemintasan yang mungkin dilakukan oleh pihak rejim Zionis adalah bertujuan menyekat keabsahan koridor kemanusiaan maritim yang selama ini sah di bawah klausa UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut), yang membenarkan apa-apa jua bantuan kemanusiaan disalurkan ke tempat yang bergolak, tanpa sekatan,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan GSF di sini hari ini.

Misi GSF kali ini melibatkan hampir 500 peserta antarabangsa daripada 45 negara yang digerakkan pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan dunia.

Sani Araby dalam pada itu berkata SNCC secara rasmi turut melancarkan empat usaha menerusi Sumud Protocol sebagai pelan tindakan fasa satu yang digerakkan bermula fasa akhir misi flotila menuju ke Gaza.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata ia dilakukan menerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia yang menggerakkan sokongan dan keahlian sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen Malaysia merentas parti sebagai cerminan keteguhan institusi Parlimen yang berani dan komited membela hal Palestin.

“Kita perlu tahu bahawa Parlimen Malaysia berkali-kali telah mengundi dan bersetuju secara konsensus untuk mengecam tindakan terhadap rejim penjajah, dan saya kira itu adalah satu khabar baik untuk negara kita, semuanya bersatu hati untuk isu Palestin tanpa mengira apa juga parti dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata SNCC melalui sayap perundangan Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) dengan sokongan pihak kerajaan juga, akan menggerakkan usaha failkan tuntutan kepada Ketua Pesuruhjaya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk pencabulan undang-undang antarabangsa susulan tindakan menculik, menyerang dan merampas bahan bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa sebelum ini.

“Ini adalah satu lagi sejarah iaitu keberanian negara bukan hanya dengan menghantar memorandum, tetapi kesatuan ini akan kita buktikan dengan memfailkan satu petisyen, satu saman kepada pihak ICC mengheret pihak penjajah ke mahkamah antarabangsa dan ini akan dimulakan seawal Jun ini,” katanya.

Selain itu,  SNCC mengabsahkan Deklarasi Brussels yang digerakkan Ahli-ahli Parlimen dunia khususnya dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU) dalam meningkatkan tekanan diplomatik serta ekonomi terhadap rejim susulan pencabulan undang-undang antarabangsa dan sekatan kemanusiaan ke atas Gaza.

Turut dilancarkan usaha siaran langsung selama 100 jam Sumud Kita Untuk Gaza menerusi platform rasmi Sumud Nusantara bagi memperluas kesedaran awam dan menyampaikan perkembangan semasa misi flotila kepada rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan demi keselamatan seluruh delegasi misi serta kejayaan usaha pembebasan Gaza dan menegaskan setiap penyebaran maklumat hendaklah sentiasa berpandukan sumber yang sahih dan berautoriti.

Sebarang pertanyaan rasmi berkaitan misi dan Palestin boleh dilayari di portal rasmi tanya.sumudnusantara.com.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan