Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Cendawan Susu Harimau Hidupkan Semula Habitat Asal Di Hutan Simpan Piah

21/05/2026 11:32 AM

LENGGONG, 21 Mei (Bernama) -- Projek pemuliharaan cendawan susu harimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerus di Hutan Simpan Piah di sini oleh Yayasan Bambusa membolehkan spesies itu kembali ke habitat hutan liar asli.

Projek yang bermula pada 2024 dengan kerjasama masyarakat Orang Asli suku Lanoh dari Kampung Air Bah dekat sini menjadi platform memperkasakan ekonomi golongan itu menerusi penglibatan langsung dalam keseluruhan rantaian projek.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bambusa Dr Muhammad Hakim Abdullah berkata projek melibatkan kawasan seluas kira-kira 100 hektar di Kompartmen 194 Hutan Simpan Piah sebagai lokasi pembiakan semula cendawan susu harimau, dipercayai satu-satunya kawasan pembiakan spesies itu di habitat hutan semula jadi.

Ad Banner
Ad Banner

“Cendawan susu harimau yang wujud sejak beribu-ribu tahun ialah spesies kulat yang hampir pupus dalam hutan. Jadi, projek ini dilaksanakan dengan pembiayaan penuh oleh Yayasan Bambusa dan diuruskan sepenuhnya oleh masyarakat Orang Asli.

“Penanaman semula cendawan ini akan dijadikan sebagai produk aliran dengan kita dalam proses mengeluarkan tiga produk berasaskan cendawan, iaitu kopi, teh dan sos pencicah dengan permintaan telah banyak diterima termasuk dari Amerika Syarikat,” katanya kepada pemberita di tapak projek di Hutan Simpan Piah di sini semalam.

Muhammad Hakim berkata projek itu turut mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri Perak dengan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menanam benih pertama cendawan susu harimau pada September 2024.

Ad Banner

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 500 benih telah ditanam dengan sasaran memperluas penanaman sehingga 2,000 benih sebulan bermula Julai depan.

Beliau berkata harga pasaran cendawan susu harimau mencecah RM3 segram sekali gus penjualan cendawan itu mampu menjana pendapatan lumayan.

Muhammad Hakim berkata selain nilai ekonomi, cendawan susu harimau juga terkenal kerana khasiat kesihatan terutama berkaitan masalah sistem pernafasan dan digunakan secara tradisional untuk membantu merawat penyakit seperti asma serta jangkitan paru-paru.

“Malah, popularitinya turut disokong oleh beberapa kajian yang meneliti potensi cendawan susu harimau dalam bidang kesihatan sekali gus meningkatkan minat pengguna terhadap produk berasaskan spesies ini,” katanya.

Muhammad Hakim berkata pihaknya juga sedang memilih 20 jenis cendawan liar selamat dimakan untuk ditanam semula selain penanaman pelbagai jenis pokok herba lain seperti pokok gaharu, kacip fatimah dan tongkat ali di kawasan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan