KUANTAN, 26 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan supaya pihak berkaitan bertindak lebih proaktif, dalam memastikan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan infrastruktur lain disediakan sewajarnya kepada rakyat di seluruh Pahang, khususnya di kawasan pedalaman.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan baginda sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat dan mahu setiap lapisan masyarakat di negeri itu, menikmati kemudahan asas yang sempurna demi kesejahteraan hidup yang lebih baik.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut, atas tindakan pantas membantu menyediakan bekalan elektrik kepada sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut.
“Baginda menzahirkan rasa sukacita apabila keluarga berkenaan yang hampir 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik, kini mula menerima kemudahan tersebut hasil tindakan segera pihak berkaitan,” menurut hantaran itu.
Sebelum ini, kisah keluarga tiga beranak itu mendapat perhatian ramai, selepas mereka menahan konvoi kenderaan Sultan Pahang ketika melalui Kampung Kuala Sat, dengan memegang plakad bertulis “Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap” bagi mengadu masalah yang dihadapi.
Baginda yang memandu sendiri kemudiannya berkenan berhenti dan mendengar luahan keluarga itu, yang memaklumkan mereka telah sekian lama hidup tanpa bekalan elektrik.
Susulan itu, pihak TNB bersama Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut telah mengambil tindakan segera dengan memasang peralatan serta kemudahan berkaitan, sebelum bekalan elektrik berjaya disalurkan ke rumah keluarga terbabit hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial