Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Matrikulasi Berada Di Bawah KPM, Dakwaan Adun Kota Kemuning Tidak Tepat - KPT

29/05/2026 03:17 PM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa program matrikulasi berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM).

Justeru, KPT menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berhubung isu kemasukan seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program itu sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

KPT dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius kenyataan ADUN berkenaan yang didakwa menyalahkan kementerian tersebut berhubung isu kemasukan pelajar terbabit ke program matrikulasi.

Ad Banner
Ad Banner

"Kenyataan tersebut jelas mengandungi kekeliruan fakta dan memperlihatkan kegagalan memahami struktur sebenar sistem pendidikan negara apabila KPT dipersalahkan dalam isu yang berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa KPM," menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan segala urusan berkaitan dasar pengambilan, penawaran tempat, rayuan dan pengurusan kemasukan ke program matrikulasi dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi KPM.

KPT turut menjelaskan kementerian itu tidak terlibat dalam proses pemilihan atau penawaran kemasukan ke program berkenaan.

"Tindakan mengaitkan KPT serta mendesak Menteri Pendidikan Tinggi campur tangan dalam urusan yang bukan di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan adalah tidak tepat, tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan rakyat," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, kementerian tersebut melahirkan kekesalan apabila isu melibatkan masa depan pelajar dijadikan bahan serangan terhadap pihak tertentu tanpa semakan fakta yang menyeluruh terlebih dahulu.

Baru-baru ini media melaporkan seorang pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan SPM gagal mendapat tempat ke program matrikulasi.

Susulan itu ADUN Kota Kemuning dilapor berkata situasi itu mengundang persoalan terhadap pelaksanaan dasar kemasukan yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan