Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerjasama BNCT, Penang Port, Perlis Inland Port Perkukuh Rantaian Bekalan Serantau

30/05/2026 08:29 PM

GEORGE TOWN, 30 Mei (Bernama) -- Kerjasama antara PT Belawan New Container Terminal (BNCT), Mutiara Perlis Sdn Bhd dan Penang Port Sdn Bhd akan memperkukuh sektor logistik serta perdagangan serantau. 

Dalam kenyataan hari ini, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Pulau Pinang berkata BNCT akan berperanan sebagai gerbang utama di Sumatera bagi memperkukuh pengedaran barangan di pasaran serantau manakala Penang Port bertindak sebagai hab pemindahan kapal dan Perlis Inland Port sebagai penghubung logistik darat ke negara Asia Tenggara serta Asia Timur.

Memorandum Kerjasama (MoC) antara tiga pihak berkenaan ditandatangani hari ini sempena perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. 

Ad Banner
Ad Banner

KJRI Pulau Pinang memaklumkan sinergi antara tiga pihak itu diharap dapat meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, mempercepat aliran kargo rentas negara dan menghubungkan sistem digital bersepadu bagi memastikan pergerakan barangan secara menyeluruh.

Konsul Jenderal Republik Indonesia di Pulau Pinang Wanton Saragih berkata kerjasama itu berpotensi mempercepat pertumbuhan ekonomi tiga negara berjiran iaitu Indonesia, Malaysia dan Thailand, selain membangunkan koridor alternatif bagi hubungan ASEAN dengan Asia Timur.

“Ketersambungan ini akan mempercepat aliran komoditi produk Indonesia dari wilayah Sumatera seperti minyak sawit, kopi, koko, teh serta hasil pertanian lain ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta kawasan sekitarnya,” katanya.

Secara operasi, laluan Pelabuhan Belawan-Penang Port sejauh kira-kira 255 kilometer akan disambung sejauh 133 kilometer ke Perlis Inland Port menjadikan keseluruhan laluan itu kira-kira 388 kilometer.

KJRI Pulau Pinang memaklumkan laluan itu lebih cekap berbanding laluan konvensional Pelabuhan Belawan-Singapura yang hampir dua kali ganda lebih jauh. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan