Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MBMB Peruntuk Lebih RM1.8 Juta Naik Taraf Lif Di Tiga Pangsapuri

04/06/2026 09:44 PM

MELAKA, 4 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menaik taraf kemudahan lif di tiga pangsapuri dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir di sini melibatkan peruntukan lebih RM1.8 juta.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata tiga pangsapuri berkenaan ialah Pangsapuri Laksamana Cheng Ho, Pangsapuri Laksamana Satu dan Pangsapuri Sembilan Tingkat.

"Kerja-kerja menaik taraf lif di setiap pangsapuri berkenaan melibatkan kira-kira RM600,000 dan setakat ini Pangsapuri Laksamana Cheng Ho dan Pangsapuri Laksamana Satu telah selesai dinaik taraf manakala Pangsapuri Sembilan Tingkat masih dalam proses pelaksanaan.

Ad Banner
Ad Banner

"Sepatutnya kerja-kerja menaik taraf itu adalah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) tetapi perojek ini dilaksanakan atas inisiatif MBMB menerusi peruntukan yang disalurkan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyempurnaan Projek Naik Taraf Fasiliti Pangsapuri Laksamana Cheng Ho dan Pangsapuri Laksamana Satu sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Banda Hilir yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Banda Hilir Leng Chau Yen.

Shadan berkata kerja-kerja menaik taraf fasiliti itu dilaksanakan kerana lif sedia ada telah berusia lebih 30 tahun dan sering mengalami kerosakan sekali gus menyukarkan penghuni khususnya warga emas.

Dalam itu, beliau berkata di bawah pentadbiran MBMB, terdapat banyak pangsapuri yang boleh dikategorikan sebagai uzur dan perlu dinaik taraf dari pelbagai aspek fasiliti.

"Kita akan perhalusi perkara itu bagi memastikan fasiliti di pangsapuri berkenaan dapat dinaik taraf atau dibaiki demi keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penghuni," katanya.

Sementara itu, Leng yang juga Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata satu akta, dasar atau sistem melibatkan penyediaan peruntukan khas perlu diwujudkan bagi membaiki fasiliti di semua pangsapuri yang memerlukan.

Beliau berkata sebagai contoh, dalam DUN Banda Hilir terdapat banyak pangsapuri berusia lebih 30 tahun dan memerlukan pelbagai penambahbaikan fasiliti termasuk lif kerana kebanyakan penghuni bangunan adalah dalam kalangan warga emas.

"Lif adalah satu daripada kemudahan penting dan memerlukan penyelenggaraan secara berkala agar sentiasa selamat untuk digunakan serta tidak membebankan penghuni khususnya yang tinggal di tingkat atas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan