Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Yayasan Eco World Sumbang Peralatan Perubatan, Bantuan Makanan 

05/06/2026 05:26 PM

KLANG, 5 Jun (Bernama) -- Yayasan Eco World hari ini menyumbangkan lima unit katil hospital dan bekalan makanan untuk tempoh tiga bulan bernilai RM50,000 kepada Charity Food Basket Society Klang (CFBSK) di sini.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban pesakit dan keluarga rentan, selain menyokong usaha kebajikan CFBSK untuk komuniti Klang.

“Apa yang diusahakan oleh pasukan CFBSK dengan sumber yang amat terhad sewajarnya perlu disokong. Para sukarelawan ini, ramai dalam kalangan pesara, hadir setiap bulan kerana mereka percaya kepada semangat saling menjaga antara satu sama lain.

Ad Banner
Ad Banner

“Yayasan berbesar hati dapat memainkan peranan kecil, dalam membantu keluarga atau pesakit untuk pulih di rumah dengan peralatan yang sesuai,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan itu hari ini.

Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah pemegang amanah Yayasan Eco World Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Philip Mathews dan Profesor Dr Zahari Ishak, serta Pengasas dan Presiden CFBSK Chew Song Kong dan ahli pasukan sukarelawan. 

Lee berkata katil berkenaan akan ditempatkan di pusat CFBSK, dan dipinjamkan secara percuma kepada pesakit yang tidak mampu untuk menyewa atau membeli peralatan perubatan, khususnya pesakit warga emas dan kritikal yang menjalani rawatan di rumah.

Sementara itu, bantuan makanan yang bernilai RM100 bagi setiap keluarga sebulan akan memberikan manfaat kepada 150 isi rumah bagi tempoh tiga bulan.

CFBSK, sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar yang ditubuhkan pada 2002, mengagihkan bantuan makanan kepada keluarga rentan pada Ahad pertama setiap bulan, serta menyediakan pinjaman peralatan perubatan termasuk kerusi roda dan alat bantuan untuk berjalan secara percuma.

Pertubuhan itu juga menyokong pelajar melalui bantuan dan program kembali ke sekolah, dengan penerima dikenal pasti dan disahkan melalui rangkaian dalam komuniti setempat.

Sementara itu, Chew berkata sumbangan daripada Yayasan Eco World akan membantu meringankan beban kewangan pertubuhan kebajikan itu kerana ia bergantung sepenuhnya kepada sumbangan awam untuk meneruskan operasinya.

Beliau berkata bantuan makanan kekal sebagai keperluan paling mendesak kerana bakul makanan diagihkan kepada penerima pada Ahad pertama setiap bulan.

“Bagi memastikan bantuan sampai kepada penerima yang layak, setiap pemohon perlu melalui proses temu duga dan pengesahan sebelum diberikan kad khas. Langkah ini turut membantu mengekalkan ketelusan dalam pengagihan bantuan,” katanya sambil menambah sumbangan itu telah meringankan kira-kira 30 peratus beban pertubuhan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan