LABUAN, 5 Jun (Bernama) -- Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) mengingatkan pengendali jeti persendirian bahawa mereka hanya dibenarkan mengendalikan kargo milik syarikat sendiri dan bukan kargo am atau milik pihak ketiga.
Pengurus Besar LPA Mizool Amir Mat Drus berkata peringatan itu telah diedarkan melalui surat bertarikh 4 Jun kepada semua pengendali jeti persendirian di pulau itu.
Beliau berkata semua aktiviti perkapalan, pengendalian kargo dan operasi jeti mesti mematuhi undang-undang persekutuan serta syarat pelesenan yang dikenakan oleh agensi kerajaan berkaitan.
“LPA bertanggungjawab memastikan semua aktiviti perkapalan, pengendalian kargo dan operasi jeti mematuhi undang-undang persekutuan serta syarat pelesenan yang ditetapkan oleh agensi kerajaan bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan ekonomi di perairan Labuan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mizool berkata jeti-jeti persendirian diluluskan hanya untuk pengendalian kargo persendirian yang dimiliki oleh syarikat-syarikat berkenaan.
Beliau berkata sebarang kargo yang dikendalikan di jeti-jeti tersebut mesti diisytiharkan secara sah dan mematuhi kelulusan rasmi yang diberikan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Sebarang pengendalian kargo am, kargo pihak ketiga atau kargo yang belum memperoleh pelepasan daripada JKDM adalah dilarang sama sekali.
“LPA akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya terdapat sebarang bentuk ketidakpatuhan terhadap syarat ini,” katanya.
Mizool turut menggesa semua pengendali jeti persendirian supaya memperkukuh pemantauan dalaman dan memastikan operasi mereka sentiasa berada dalam skop kelulusan yang diberikan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata kerjasama berterusan daripada pengendali jeti amat penting bagi memelihara integriti aktiviti pelabuhan dan maritim di Labuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial