TELUK INTAN, 7 Jun (Bernama) -- Bandar Teluk Intan bakal diisytihar sebagai zon bebas banjir menjelang 2028 menerusi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Intan Fasa Dua atau RTB Pintar Teluk Intan yang kini sedang rancak dibangunkan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek berimpak tinggi bernilai RM80.5 juta itu akan menamatkan penantian lebih setengah abad penduduk setempat dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 19 Mei 2028.
"Dalam tempoh lebih kurang daripada 30 bulan, kita akan saksikan wajah baharu Teluk Intan yang mana apabila RTB ini siap, ia akan mempunyai laluan basikal, laluan joging dan juga dalam perancangan restoran terapung.
“Saya yakin apabila projek ini siap pada 2028, kita boleh isytiharkan bandar Teluk Intan zon bebas banjir,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Sesi Taklimat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1 dan RTB Teluk Intan Zon A Fasa 2 dan Kerja-Kerja Lain Yang Berkaitan Daerah Hilir Perak, di sini, hari ini.
Pada majlis hari ini, Nga turut menyempurnakan gimik perasmian projek RTB Teluk Intan Zon A Fasa 2 yang pembinaannya bermula Disember lepas.
Nga berkata beliau yakin RTB Pintar Teluk Intan bakal menjadi destinasi pelancongan di bandar itu selain Menara Condong, dengan adanya laluan basikal, joging dan restoran terapung.
“Apabila siap (RTB Pintar Teluk Intan), KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) akan melaksanakan projek pengindahan bersama agensi dan jabatan yang lain termasuk penanaman pokok secara besar-besaran.
“Kita telah mengenal pasti pokok Whita Bucida untuk (ditanam) sepanjang tujuh kilometer itu (laluan basikal dan joging) dan hari ini kita buka kempen derma pokok iaitu RM1,000 untuk satu pokok. Sesiapa sahaja yang menderma, namanya akan terpahat di pokok itu selama-lamanya sebagai kenangan sumbangan mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial