KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang memusnahkan 29 rumah di Kampung Gok Kapur di sini dijangka dapat diselesaikan hari ini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Khairul Ariffin Che Ramli berkata pasukan forensik bomba, masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian selain meneruskan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada sisa bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Beliau berkata setakat pagi ini, sebanyak 29 rumah dikenal pasti musnah dalam kebakaran itu berbanding 27 rumah yang dilaporkan petang semalam.
“Setakat pagi tadi, bomba telah mengenal pasti sebanyak 29 rumah yang musnah dalam kebakaran ini, berbanding 27 rumah pada petang semalam.
“Sebanyak 55 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Kota Bharu, Tunjong dan Pengkalan Chepa, digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman dan pemantauan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Khairul Ariffin berkata operasi pemadaman turut melibatkan penggunaan tiga sumber air utama iaitu pili bomba berhampiran, dua tangki air berkapasiti 30,000 liter serta air dari Sungai Kelantan, bagi memastikan kelancaran operasi.
“Kita menggunakan gabungan sumber air ini bagi memastikan operasi pemadaman dapat dijalankan tanpa gangguan bekalan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai dan penduduk supaya tidak memasuki kawasan kejadian, kerana lokasi berkenaan masih berada di bawah siasatan selain boleh mengundang risiko keselamatan.
Semalam, 27 rumah dilaporkan musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Gok Kapur, manakala punca kejadian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial