KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan menggerakkan pasukan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur untuk mendapatkan semula dokumen pengenalan diri mereka yang musnah dalam kejadian itu.
Pengarahnya Halimatusaadiah Ramli @ Mohd Shah berkata sebuah van bergerak telah ditempatkan di lokasi kejadian bagi memudahkan urusan penggantian dokumen seperti kad pengenalan, sijil kelahiran dan sijil kematian.
“Setakat 4 petang ini, sebanyak 15 permohonan cabutan sijil kelahiran, dua cabutan sijil kematian dan dua permohonan gantian kad pengenalan telah diproses.
“Setiap urusan hanya mengambil masa antara lima hingga 10 minit untuk disiapkanPasukan MEKAR akan berada di lokasi hingga 5 petang hari ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, mangsa kebakaran Eamie Zarini Nasir, 43, berkata dia dan adiknya, Muhammad Zaihan Hafiz, 27, tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting.
Pembantu klinik itu berkata ketika kejadian dia berada di tempat kerja, manakala adiknya berada di rumah.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana JPN turun padang dan menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen secara percuma di lokasi kejadian. Ia sangat membantu dan memudahkan urusan mangsa,” katanya.
Semalam, sebanyak 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapur, dan pasukan forensik bomba masih menyiasat punca kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial