Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Melangkah Ke Hadapan Tatkala Jepun Menoleh Ke Selatan

10/06/2026 08:27 PM

Oleh Mohd Faiz Abdullah

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Tokyo minggu ini ketika Jepun semakin mendesak untuk menumpukan perhatian ke arah selatan.

China telah menembusi industri yang firma Jepun suatu ketika dahulu kelihatan hampir tidak boleh digugat. Tentera laut dan pengawal pantainya kini beroperasi lebih kerap di perairan berdekatan. Amerika Syarikat pula, walaupun kekal sebagai sekutu geopolitik yang amat penting, dalam aspek perdagangan ia lebih bersifat transaksional, dan dalam keadaan yang sukar, ia tidak menentu.

Ad Banner
Ad Banner

Di bawah kepimpinan Takaichi Sanae, Jepun memiliki Perdana Menteri yang melihat penglibatan dengan Asia Tenggara sebagai satu keperluan strategik. 

Malaysia banyak terhutang budi kepada Jepun dalam pembangunan industri modennya. Asas industri elektronik negara dan pelaburan Jepun banyak meninggalkan kesan kepada Malaysia. Selama bertahun-tahun, kerjasama itu mudah difahami: Jepun membawa modal, teknologi dan kepakaran pembuatan; Malaysia menawarkan platform untuk pengeluaran eksport. Kerjasama itu masih penting.

Bagaimanapun, Tokyo kini mahukan lebih daripada itu: pasaran serta rakan kongsi yang mempunyai peranan diplomatik dan keselamatan yang penting di rantau ini. Namun, sia-sia untuk menganggap terdapat faedah percuma dalam mana-mana perjanjian perdagangan. Kedua-dua pihak akan berusaha memaksimumkan manfaat daripada setiap perjanjian dan tidak menjadi masalah jika hasilnya memberikan keuntungan bersama.

Anwar pula memanfaatkan sepenuhnya lawatan itu. Beliau menyampaikan syarahan di University of Tokyo, bertemu dengan pemimpin korporat, berucap pada Forum Nikkei mengenai Masa Depan Asia dan mengadakan pertemuan dengan Takaichi. Perdagangan kekal menjadi inti pati penting, tetapi bukan lagi mewakili keseluruhan cerita.

Di universiti berkenaan, Perdana Menteri melihat kecerdasan buatan (AI) sebagai persoalan kemanusiaan sebelum menjadi persoalan ekonomi. Kebanyakan perdebatan menggambarkan AI sebagai persaingan antara firma dengan negara. Perkara ini boleh diterima, namun teknologi yang mengubah cara bekerja, pengetahuan dan peperangan juga menggugat pertimbangan, kepercayaan dan maruah yang sewajarnya diberikan sesama insan.

Anwar juga jelas tentang kebimbangan Malaysia terhadap kuasa yang kini tertumpu pada AI. Sebilangan kecil firma mengawal banyak model, cip dan piawaian yang menjadi kebergantungan pihak lain. Ada yang kini membincangkan AI dalam bahasa persaingan strategik dan perjuangan tamadun.

Beliau mengulangi pendirian itu dalam Forum Nikkei dengan lebih tegas: "Sama ada dalam bentuk 'misi tamadun' baharu atau 'penjajahan digital', kita mesti menolak sebarang manifestasi baharu fasisme teknologi."

Meja bulat korporat memberikan dimensi perindustrian kepada lawatan berkenaan. Firma Jepun masih mengambil kira tentang kos. Mereka juga mengambil berat sama ada rakan kongsi masih boleh dipercayai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Mereka mempunyai alasan untuk berbuat demikian. Korporat Jepun kini berdepan dengan tekanan daripada pesaing China yang memiliki kelebihan dari segi kepantasan, skala dan perisian yang lebih baik, termasuk dalam pasaran automotif  Asia Tenggara yang sekian lama menjadi kubu kuat Jepun.

Daya tarikan lama Malaysia ialah tanah dan tenaga kerja. Pendekatan baharu yang diketengahkan ialah sebagai platform bagi firma Jepun membangunkan kapasiti dan jaringan pembekal demi memastikan mereka terus berdaya saing. Bagi Malaysia, ganjarannya ialah peluang pekerjaan yang lebih baik, kemahiran yang lebih mendalam dan kedudukan yang lebih besar dalam sektor pembuatan bernilai tinggi.

Industri cip ialah contoh paling ketara. Malaysia kini mengendalikan kira-kira 13 peratus daripada aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor dunia. Strategi Semikonduktor Nasional bertujuan meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai industri itu. Jepun, yang kukuh dalam bahan, peralatan dan kerja yang teliti mampu mengisi jurang tersebut. Namun, strateginya ialah bahagian yang mudah. Pelaksanaannya jauh lebih sukar.

Malaysia perlu melahirkan lebih ramai jurutera, membangunkan rangkaian pembekal yang memenuhi piawaian global, memastikan kestabilan bekalan tenaga dan memantapkan dasarnya. Modal Jepun boleh menunggu jika asasnya kukuh, namun ia juga boleh beralih dengan cepat jika situasi ekonomi tidak stabil.

Tenaga turut menjadi tema penting. Jepun mengimport sebahagian besar sumber tenaganya. Malaysia menghasilkan tenaga, tetapi menggunakannya lebih banyak untuk keperluan domestik dan turut terkesan dengan kenaikan harga global. Kedua-dua negara mahu mengurangkan pelepasan karbon tanpa menjejaskan industri atau membebankan rakyat, dan tiada slogan yang mampu menyelesaikannya.

Usaha sebenar terletak pada pembangunan hidrogen dan ammonia, bateri, penukaran sisa kepada tenaga dan loji industri yang lebih bersih, selain tanggungjawab berat dalam membiayai peralihan apabila setiap negara bermula dari kedudukan yang berbeza.

Pada Forum Nikkei, Perdana Menteri menyentuh persoalan lebih besar tentang perkara yang akan berlaku kepada Asia apabila keterbukaan tidak boleh lagi dianggap sebagai sesuatu yang pasti. Tiada sesiapa di dalam dewan itu yang perlu diberitahu bahawa dunia semakin mencabar. Namun, Anwar tidak mahu mengambil sebarang risiko terhadap situasi itu yang dilihat seperti terumbang-ambing dalam ketidakpastian strategik.

Para pemimpin masih terperangkap dalam paradigma geopolitik, dengan tuntutan hegemoni mendorong mereka "untuk terus mengejar kuasa, membina kekuatan ketenteraan dan ekonomi atas nama keselamatan strategik". Dengan berpegang teguh kepada paradigma itu, Anwar menyifatkannya sebagai  zero-sum power game yang menyaksikan pihak kuat terus menindas pihak yang lemah.

Gaza dan Ukraine, pertikaian tarif, larangan eksport, subsidi industri dan keghairahan terhadap AI kini menjadi isu yang perlu ditangani oleh setiap kerajaan dengan serius. Asia membangun dengan membuka pintunya, membenarkan perdagangan dan aliran wang merentasi sempadan sehingga kilang-kilangnya saling terhubung dan berjuta-juta rakyat berjaya keluar daripada kemiskinan.

Namun, keterbukaan itu kini dijadikan senjata. Rantaian bekalan, wang dan teknologi telah menjadi alat pengaruh. Yang dianggap sebagai strategi negara oleh kuasa besar, diterjemahkan sebagai satu pendedahan kepada risiko di negara yang lebih kecil.

Keterbukaan masih penting, hujah Perdana Menteri, namun sistem yang dibina untuk menyokongnya perlu mengambil kira soal keselamatan ekonomi dan persaingan kuasa besar. Negara kuasa pertengahan memahami perkara ini lebih baik daripada pihak lain. Mereka mendapat manfaat daripada hubungan global, tetapi menanggung akibatnya apabila hubungan bertukar menjadi paksaan.

Pertemuan dengan Perdana Menteri Takaichi ialah teras strategik lawatan berkenaan. Pertahanan, keselamatan maritim, tenaga, kewangan, dan hubungan antara rakyat dibincangkan, begitu juga isu berkaitan Laut China Selatan, Myanmar dan Timur Tengah. Hubungan yang dibina selama ini, terutamanya atas dasar perdagangan kini perlu memikul tanggungjawab yang lebih berat.

Keperluan itu paling jelas. Perdagangan Malaysia dan sebahagian besar tenaga bergantung pada pengangkutan maritim. Nelayan dan pekerja pelantar luar pesisir bekerja di perairan yang semakin sibuk, sukar dipantau dan rumit akibat tuntutan bertindih. Oleh itu, Malaysia memerlukan kuasa maritim yang benar-benar berkeupayaan. 

Memorandum yang dimeterai antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan Japan Coast Guard mungkin sederhana kandungannya: latihan bersama dan perkongsian maklumat, namun perkara yang kelihatan sederhana boleh menjadi amat penting dalam masa yang singkat.

Kewangan juga memainkan peranan. Lebih satu perempat daripada perdagangan Malaysia–Jepun kini dilakukan dalam ringgit dan yen berbanding dolar.

Kedua-dua bank pusat sedang berusaha membaharui perjanjian pertukaran mata wang mereka. Dalam keadaan biasa, perkara ini kedengaran teknikal, namun dalam krisis, ia membantu syarikat meneruskan perdagangan dan menjamin bekalan.

Kedua-dua pihak menyedari bahawa daya tahan juga bergantung pada sistem pembayaran seperti kapal di laut. Lebih banyak memorandum persefahaman ditandatangani termasuk dalam bidang alam sekitar, peranti perubatan, tenaga dan pertukaran akademik. 

Tiada satu pun yang mungkin akan menjadi tajuk utama, tetapi diplomasi yang berkesan sering bermula daripada perkara yang kurang mendapat perhatian: pengawal selia yang tahu individu yang perlu dihubungi, program universiti yang terus bertahan selepas majlis pelancarannya, atau syarikat yang melihat kestabilan mencukupi untuk merancang pelaburan satu dekad lagi di Malaysia.

Bagi Malaysia, tugasnya ialah melihat Jepun dengan jelas: sebuah negara yang mempunyai kekuatan dan kebimbangan sebenar, dan rakan kongsi yang boleh membina hubungan yang lebih strategik di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

*Datuk Profesor Dr Mohd Faiz Abdullah ialah Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS)

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan