Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TPM, Menteri Zahir Penghargaan Buat Insan Bergelar Bapa

21/06/2026 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Kabinet hari ini menzahirkan penghargaan kepada insan bergelar bapa atas jasa dan pengorbanan mereka bersempena dengan Hari Bapa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada sebalik wajah tenang seorang bapa, tersimpan seribu satu pengorbanan demi memastikan keluarga terus dilindungi, anak-anak membesar dengan baik dan masa depan mereka sentiasa terbela.

“Teringat juga ketika menonton filem Papazola, yang mengingatkan kita bahawa kasih seorang ayah sering kali tidak dizahirkan dengan kata-kata. Namun ia hadir dalam setiap usaha, setiap doa, setiap penat lelah dan setiap langkah yang diambil demi keluarga tercinta,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut menitipkan pesanan buat anak-anak supaya menghargai ayah selagi mereka masih ada dengan meluangkan masa, bertanya khabar dan mengungkap rasa sayang yang mungkin selama ini hanya tersimpan di hati.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kasih seorang bapa terpancar melalui pengorbanan tidak ternilai, kerja keras yang tidak mengenal erti lelah dan komitmen  berterusan demi memastikan kesejahteraan keluarga.

Beliau berkata bapa, ayah, abah, papa, walid, abi, appa, apak atau apa sahaja gelaran yang digunakan bukan sekadar pencari nafkah, tetapi juga pendidik, pelindung dan teladan yang membimbing anak-anak menghadapi cabaran kehidupan.

“Masa yang diluangkan bersama keluarga, nasihat yang diberikan dengan penuh hikmah serta contoh yang ditunjukkan melalui akhlak dan peribadi yang baik merupakan asas kepada pembentukan keluarga yang sejahtera dan masyarakat yang harmoni,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut mengucapkan selamat Hari Bapa kepada semua insan bergelar bapa.

“Terima kasih atas kasih sayang, pengorbanan, tunjuk ajar dan segala usaha yang sering dilakukan demi keluarga,” katanya sambil mendoakan supaya para bapa sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kebahagiaan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan para bapa mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri untuk melihat setiap kejayaan anak-anak.

“Jangan biarkan komplikasi penyakit akibat merokok merampas peluang dan masa berharga ini. Setiap sedutan rokok atau vape ialah masa yang kita curi daripada keluarga kita sendiri,” katanya sambil meminta para bapa mengambil langkah pertama untuk berhenti merokok atau vape hari ini demi pelaburan masa depan anak-anak.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata setiap pengorbanan seorang bapa wajar dihargai dan diiktiraf melalui dasar dan tindakan yang mampu memberikan perlindungan, keselamatan serta jaminan masa depan yang lebih baik buat mereka dan keluarga.

“Tiada yang lebih penting daripada memastikan mereka yang keluar mencari rezeki setiap hari dapat bekerja dengan selamat, dilindungi dan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Menteri Digital Gobind Singh Deo mengajak anak-anak dan keluarga meraikan sosok bapa yang setia membantu membina masa depan lebih cerah untuk rakyat dan generasi mendatang dengan penuh rasa cinta dan dedikasi.

“Pengorbanan, panduan, dan kerja keras anda bukan sahaja menguatkan lagi seisi keluarga anda, bahkan juga komuniti setempat yang menjadikan negara kita lebih berdaya tahan dan bersatu,” katanya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pula menyifatkan bapa sebagai 'payung' yang melindungi, 'akar' yang mengukuhkan keluarga dan 'pohon' tempat berteduh daripada badai kehidupan.

“Jika alam semula jadi menyediakan ekosistem yang melindungi dan memberikan kehidupan kepada kita, begitulah juga besarnya peranan seorang bapa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan