COVID-19

Agrobank tawar moratorium, penstrukturan semula pembiayaan bagi PKS

20/03/2020 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac -- Agrobank mengumumkan beberapa langkah bersama dengan inisiatif yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19.

Menurut bank itu, langkah-langkah tersebut adalah moratorium segera sehingga enam bulan bagi pembayaran ansuran bulanan pembiayaan kepada pelanggan sedia adanya dan penstrukturan semula pembiayaan mereka bagi membantu situasi aliran tunai mereka. 

 "Memandangkan penularan wabak yang semakin meningkat, Agrobank akan terus giat menyediakan langkah-langkah bantuan kewangan dalam membantu PKS bagi mengharungi kegawatan akibat daripada pandemik COVID-19,” kata penanggung tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Khadijah Iskandar dalam satu kenyataan hari ini.

Agrobank, menerusi Pakej Rangsangan 2020 BNM, juga menyediakan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) bernilai RM2 bilion dalam benuk modal kerja bagi membantu PKS yang terjejas teruk disebabkan COVID-19.

Khadijah berkata kemudahan ini penting kepada PKS dalam sektor pertanian dan agromakanan untuk mengekalkan operasi perniagaan mereka dan meringankan masalah aliran tunai jangka pendek.

“Menerusi program ini, Agrobank akan menyediakan kemudahan pembiayaan segera tanpa cagaran bernilai sehingga RM1 juta bagi setiap PKS dengan kadar pembiayaan kompetitif terhad pada  3.75 peratus setahun,” katanya.

Beliau berkata PKS yang layak boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan dengan Agrobank bagi tempoh sehingga 5.5 tahun, termasuk enam bulan tempoh tangguh. 

Inisiatif lain yang diambil di bawah Pakej Rangsangan 2020 BNM 2020 adalah pengenalan Kemudahan Agromakanan bernilai RM1 bilion dan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta. 

“Kami terus memantau perkembangan wabak  COVID-19 dan sentiasa bersedia untuk menyokong pelanggan kami dengan penyelesaian kewangan terbaik terutamanya semasa tempoh sukar ketika ini,” kata Khadijah. 

Beliau berkata kakitangan bank itu yang bekerja secara langsung dengan pelanggan dilatih untuk mengenal pasti, membantu dan menyediakan sokongan kewangan yang sewajarnya kepada mereka bagi menangani keperluan perniagaan unik mereka. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan