SUKAN > BERITA

KL CITY BANGKIT IKAT PDRM 2-2

28/04/2024 12:59 AM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Kuala Lumpur City  FC (KL City) bangkit mengikat Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC 2-2 meskipun Video Bantuan Pengadil (VAR) menafikan dua jaringan skuad itu pada aksi persahabatan pramusim Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Majlis Pembandaran Selayang di sini malam ini. 

Babak pertama menyaksikan PDRM di bawah kendalian P. Maniam membuka tirai jaringan apabila penyerang import baharu dari Nigeria nya Ifedayo Olesegun Patrick meledak gol pada minit ke-25 selepas menerima hantaran Mohd Safiee Ahmad. 

Bersambung babak kedua, KL City menyamakan kedudukan namun pengadil perlawanan Ahmad Zuhadi Dzulkifli membatalkan jaringan selepas meneliti VAR mendapati pemain sayap Croatia, Lazar Sajcic berada di kedudukan ofsaid ketika meledak gol itu.

KL City terus kecewa apabila Ifedayo menggandakan kedudukan pada minit ke-50 buat skuad Sang Saka Biru sebelum pengadil yang meneliti VAR sekali lagi membatalkan jaringan kedua The City Boys yang dihasilkan Sean Giannelli ketika provokasi berlaku. 

Provokasi itu berlaku selepas pemain tengah KL City Zhafri Yahya mengasari  pemain pertahanan Kyaw Min Oo. 

Bagaimanapun, pasukan yang dibimbing Miroslav Kuljanac itu berjaya bangkit menyamakan kedudukan sebelum wisel tamat dibunyikan menerusi Paulo Josue pada minit ke-95 dan Patrick Alacala Reichel pada minit ke-99.

Sebagai rekod,  skuad KL City menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tempat ketujuh dengan 38 mata, dikiuti PDRM dengan ketinggalan satu mata di tempat kelapan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini menentapkan untuk menggunakan VAR pada lapan aksi pramusim bermula Isnin lepas hingga 4 Mei ini untuk menguji sistem tersebut bagi saingan (Liga-M) musim ini.

Sistem berkenaan akan mula digunakan pada musim Liga Super 2024/2025 yang akan membuka tirai pada 10 Mei ini. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan